Daripada empat yang terkorban semalam, dua ditembak di Semenanjung Gaza dan dua lagi di Ramallah, Tebing Barat manakala mereka yang ce­dera termasuk seorang remaja yang parah ditembak di bahagian leher.

Lelaki OKU, Ibrahim Abu Thurayeh, 29, yang kehilangan ke­dua-dua belah kakinya akibat sera­ngan Israel, sembilan tahun lalu. se­ring menyertai tunjuk perasaan di sepanjang sempadan Gaza dengan Israel.

Malangnya, sema­lam adalah hari ter­akhir dia menyertai bantahan itu selepas dia mati ditembak di kepala oleh tentera Israel.

Pada tahun 2008, Ibrahim cedera selepas ditembak oleh sebuah helikopter Israel kerana menurunkan bendera Israel dan menaikkan bendera Pa­lestin di sepanjang sempadan.

Gambar dia menyertai tunjuk perasaan di sepanjang sempadan Gaza telah tular dalam media sosial selepas disahkan meninggal dunia semalam.

Pada masa yang sama, tunjuk perasaan dan bantahan terhadap keputusan Trump terus mening­kat manakala sokongan dunia sema­kin bertambah menjelang lawatan Naib Presiden AS, Mike Pence ke wilayah ini.

Semalam beribu-ribu penduduk Palestin mengadakan tunjuk perasaan di Masjid Al-Aqsa, Ramallah dan Bethlehem manakala tunjuk perasaan sama juga diadakan antaranya di Mumbai, India, Kuala Lumpur, Mexico, Jordan dan Tokyo, Jepun.

Di sepanjang sempadan Gaza, beribu-ribu penunjuk perasaan membaling batu ke arah tentera Israel dan pertempuran berlarutan selama beberapa jam.

Wartawan Al Jazeera melaporkan, seruan beberapa kumpulan Palestin dan sokongan kuat negara-negara Islam telah memberi kekuatan dan membolehkan bantahan itu diteruskan.

“Gesaan kuat dan kesatuan telah ditunjukkan oleh delegasi semasa persidangan negara-negara Islam di Turki pada Selasa lalu dan beberapa kumpulan perge­rakan Palestin telah menyeru ban­­tahan be­sar-besaran,’’ katanya.

Di Bethlehem pula, para penunjuk perasaan mahu semua 'kata-kata itu diterjemah dengan tindakan.’ – Agensi