Bangkok Post yang memetik Timbalan Ketua Siasatan Balai Polis Yarang, Leftenan Polis Wicha Noopaennoi sebagai berkata, kesemua mangsa dibunuh di Sekolah Bukoh, mukim Prachan kira-kira pukul 11.45 pagi waktu tempatan.

Ke­semua mang­sa terbabit bertugas untuk melin­dungi guru dan murid di sekolah itu ketika keganasan di wilayah selatan negara ini tidak menunjukkan tanda akan reda.

Mangsa dikenali sebagai Sulaiman Wae-useng, 36; Muhammad Taeteng, 33; Abdulloh Salae, 35, dan Bueraheng Ji, 32.

Wicha berkata, sekumpulan lelaki berpakaian seperti tentera dipercayai lapan orang tiba di sekolah itu dengan menaiki motosikal.

Katanya, suspek berpura-pura memeriksa kawasan sekolah, bertanyakan maklumat keselamatan dan kemudiannya melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Penyerang tersebut kemudiannya melarikan diri dengan senjata raifail AK milik kesemua mang­sa. Mereka sempat menaburkan objek besi tajam di sepanjang jalan sebaik sahaja me­larikan diri,” kata Wicha.

Dalam perkembangan ber­­a­singan, Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwon mendakwa serangan bom kereta di Thepa, Songkhla, kelmarin didalangi oleh kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Beliau yang turut memegang portfolio keselamatan negara berkata, pasukan komander tentera ke-4 telah dikerah bagi meningkatkan lagi kawalan keselamatan di selatan negara yang terdedah kepada serangan pemisah.

Tambahnya, beliau maklum BRN tidak pernah menyertai rundingan damai yang ditaja Malaysia dan kerajaan Thailand.

Dalam serangan itu, sebuah janakuasa elektrik dan dua anggota polis cedera dalam sera­ngan bom kereta di mukim Tha Muang ketika kekuatan letupan dapat didengar sehingga 10 kilometer. – AGENSI