Kerajaan Haiti pimpinan Pre­siden Jovenel Moise menyifatkan kenyataan Trump bersifat perkauman, Presiden Senegal, Macky Sall melalui Twitter miliknya pula merasa terkejut manakala parti peme­rintah Afrika Selatan menyelar kenyataan itu dan menganggapnya sebagai ‘sangat menya­kitkan hati’.

Negara-negara Afrika di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menuntut Trump memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengandungi perkataan shithole yang dilemparkan terhadap negara asal kumpulan pendatang dari benua tersebut.

Selepas sesi tergempar di PBB berhubung kenyataan Trump itu, Kumpulan Duta Negara Afrika di PBB melahirkan kebimbangan ekoran ‘peningkatan trend yang berterusan oleh pentadbiran AS merendah-rendahkan negara-negara Afrika dan rakyatnya.’

Mereka yang amat terkejut, mengutuk keras kenyataan perkauman dan xenofobia melam­pau Presiden AS seperti yang dilaporkan oleh pihak media.

Kesemua 54 buah negara Afrika itu bagaimanapun turut menyatakan terima kasih kepada rakyat AS daripada semua peringkat yang mengutuk ken­yataan Trump.

Resolusi negara-negara Afrika itu diluluskan sebulat suara selepas rundingan selama empat jam.

Kerajaan El Salvador pula menghantar surat bantahan rasmi ekoran kenyataan itu dan terdahulu pada awal minggu ini AS mengumumkan akan membatalkan Status Perlindungan Sementara kira-kira 200,000 rakyat negara itu yang menetap di AS.

Di Brussel, ahli Parlimen Kesatuan Eropah (EU), Gianni Pittella dari Itali berkata, Trump ‘terlupa untuk menghubungkan otaknya sebelum bercakap’.

Bekas Presiden Mexico, Vicente Fox yang seringkali berselisih pendapat dengan Trump pula menuntut pemimpin AS itu menjelaskan apakah bidang kuasanya yang boleh mengiktiraf mereka yang dialu-alukan ke Amerika dan sebaliknya.

Bekas Ketua Gabenor Kanada, Michaelle Jean menyifatkan kenyataan Trump me­nimbulkan ‘gangguan’.

“Ini merupakan penghinaan terhadap kemanusiaan dan ini merupakan kali pertama wakil AS bercakap dengan cara yang menyakitkan hati dan mengganggu,’’ katanya.

Kerajaan Bostwana pula menyifatkan Trump ‘tidak bertanggungjawab, bersikap perkauman dan keji’.

Terdahulu 55 buah negara anggota Kesatuan Afrika (AU) mengutuk kenyataan Trump manakala Bostwana dan Senegal bersemuka dengan duta AS untuk menyatakan kemarahan mereka.

Ebba Kalondon yang merupakan jurucakap Presiden AU, Moussa Faki berkata, tingkah laku dan kenyataan Presiden AS itu tidak boleh diterima.

Semalam, Trump melalui satu sumber menafikan kenyataan beliau menghina pendatang Haiti dan negara-negara Afrika lain.

Beliau memberi alasan hanya menyatakan apa yang difikirkan oleh kebanyakan pihak tetapi tidak dinyatakan secara terang-terangan tentang pendatang dari negara-negara yang mengalami masalah ekonomi.

Trump yang tidak menunjukkan rasa kesal terhadap kenya­taan itu, menafikan beliau bersikap perkauman sebaliknya menyalahkan pihak media yang memutarbelitkan maksud beliau.

Sementara itu, sekumpulan doktor peribadi yang memeriksa kesihatan Trump memaklumkan Pre­siden AS itu didapati sihat selepas menjalani ujian fizikal semalam.

“Berdasarkan ujian kesihatan Trump yang kini berusia 71 tahun, di Pusat Perubatan Walter Reed National Military, ia berjalan lancar dan didapati sihat,” kata Dr. Ronny Jackson.

Laporan sebelum ini menyebut pemeriksaan hanya menentukan tahap fizikal beliau.– AGENSI