Portal Serambinews.com melaporkan, perkara itu di­sahkan oleh Ketua Polis Kota Banda Aceh, Trisno Riyanto SH melalui Ketua Polis Sektor Baitussalam, Iptu Afrinal hari ini.

Menurut Iptu, hasil kenal pasti daripada 44 bungkusan rangka manusia yang ditemukan, terdapat 23 rangka lelaki, 16 wanita dan lima kanak-kanak bawah lima tahun.

“Keseluruhannya ada 44 bungkusan berisi rangka manusia, mangsa tsunami. Sedangkan dua bungkusan lagi kosong. Siasatan kami mendapati dua bungkusan itu sebelumnya berisi mayat bayi,” jelasnya.

Kelmarin, 46 rangka manusia mangsa bencana tsunami 14 tahun lalu yang lengkap dibaluti bungkusan ditemukan ketika seorang pekerja yang tinggal di kawasan tersebut menggali sebuah tangki septik.

Iptu menambah, daripada 44 bungkusan, empat rangka dikenal pasti identitinya dan tiga rangka telah dituntut oleh pihak keluarga mangsa.

Salah seorang mangsa yang dikenal pasti adalah Faizal Ridla, mahasiswa Universiti Islam Negeri Ar-Raniry Banda Aceh dan telah dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Meunasah Krueng, Aceh Timur.

Hanya rangka atas nama Maryam Husen tidak dituntut dan dikebumikan bersama rangka-rangka lain yang tidak ditemukan sebarang pengenalan di Aceh Besar.