Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Duke Robotics, Raziel Atuar berkata, dron yang dikenali sebagai Tikad dilengkapi dengan me­si­ngan dan pelancar bom dengan tembakannya hanya boleh dilakukan secara kawalan jauh.

BBC memetik beliau sebagai berkata, dron itu dicipta dengan tujuan mengurangkan kadar kematian dan kecederaan dalam kalangan tentera AS.

“Sebagai bekas Komander Unit Khas tentera AS, saya pernah berada di medan perang untuk beberapa tahun dan dron ini mampu mengubah senario peperangan bagi mengurangkan kadar kematian dan kecederaan para anggota.

“Dron Tikad sudah memenangi pelbagai anugerah daripada Jabatan Pertahanan AS dan juga berpotensi untuk digunakan oleh pasukan tentera negara lain,” katanya.

Bagaimanapun, dron berkenaan menimbulkan kebimbangan pakar robotik sekiranya teknologi berkenaan disalah guna.

Pakar robotik, Prof. Noel Sharkey berkata, dron berkenaan mu­ngkin digunakan untuk membunuh orang yang tidak berdosa.

“Kebanyakan dron bersaiz besar perlu terbang pada ke­tinggian beberapa ribu kaki untuk me­lakukan serangan tetapi dron kecil lebih mudah terbang berhampiran kawasan orang awam dan sete­rusnya boleh menyebabkan kematian yang tidak disengajakan.

“Kebimbangan terbesar saya adalah banyak kes melibatkan penggunaan dron dalam penca­bulan hak asasi manusia,” ujarnya. AGENSI