Walaupun mendapat kritikan hebat daripada pakar-pakar per­ubatan yang mempertikaikan eti­ka perubatannya, Dr. Xiaoping Ren telah menubuhkan pasukan khas untuk melakukan pembedah­an itu yang disifatkannya bakal mencipta sejarah tersendiri dan pertama seumpamanya di dunia.

“Kami semakin hampir untuk melakukan pembedahan ini namun kami tidak boleh kata ini akan berlaku esok. Saya sendiri tidak dapat mengatakan pembedahan itu akan berlaku tahun depan,” ujar beliau.

Menurut laporan Mail Online, Ren memberitahu besi akan ‘di­selitkan’ untuk menstabilkan le­her baharu tubuh manusia itu sementara penghujung saraf tunjang akan dipenuhi dengan bahan seperti gam untuk membantu pertumbuhan.

Jelasnya, pembedahan itu akan melibatkan dua kepala daripada dua tubuh manusia dan menghubungkan tubuh penderma itu kepada kepala penerima.

Awal tahun ini, Ren menggemparkan dunia apabila mendedahkan bahawa pasukannya berjaya melakukan pembedahan pemindahan kepala seekor monyet yang mampu hidup selama 20 jam.

Beliau menjangkakan pemin­dahan kepala manusia itu akan berjaya bertahan selama 30 sehingga 40 jam.

Sungguhpun beliau digelar ‘Dr. Frankenstein China’ oleh media tempatan, Ren yang pernah membantu pembedahan pemindahan tangan yang pertama di Amerika Syarikat (AS) pada 1999, tidak mahu memohon maaf berhubung cita-citanya tersebut.

Ren kini meminta sokongan masyarakat terhadap usahanya itu dengan menegaskan isu etika merupakan perkara sampingan berbanding usaha membantu nya­wa manusia.

Sebelum kejayaan pembedah­an terhadap monyet, Ren telah mengendalikan lebih 1,000 pembedahan sama terhadap tikus, memindahkan kepala tikus hitam pada tubuh tikus putih namun kesemuanya gagal hidup lebih daripada sehari.