Kesan dera itu juga menjelaskan sama ada trauma boleh diwariskan antara satu generasi atau sebaliknya.

Sepasukan saintis dari Universiti British Columbia mengkaji sel sperma 34 lelaki dewasa dengan ada di antara responden pernah menjadi mangsa pende­raan semasa kanak-kanak.

Mereka mendapati kesan trauma dapat dikesan di 12 kawasan dalam asid deoksiribonukleik (DNA) semua lelaki itu yang pernah mengalami pelbagai tahap penderaan emosi, fizikal atau seksual.

Saintis percaya, perubahan yang dikenali sebagai metilasi itu boleh dimanfaatkan penyiasat atau mahkamah untuk membantu siasatan dakwaan pende­raan kanak-kanak.

“Jika kita memikirkan gen seperti cahaya lampu, metilasi DNA adalah seperti pengawal suis yang mengawal tahap kekuatan cahaya, seterusnya dapat mempengaruhi fungsi sel.

“Maklumat itu berpotensi memberikan maklumat tambahan bagaimana penderaan kanak-kanak mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental jangka panjang individu,” kata pengkaji di Jabatan Genetik Universiti Perubatan, Nicole Gladish.

Penyelidikan itu merupakan satu daripada percubaan yang semakin meningkat untuk melihat gen yang ‘hidup dan sebaliknya’ ketika proses perkembangan manusia pada tahap yang berlainan, bidang kajian yang dikenali sebagai epigenetik.

Saintis yang terlibat dalam kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Translational Psychiatry menjelaskan, mereka masih tidak tahu bagaimana metilasi mempengaruhi kesihatan jangka panjang seseorang.

Pada masa sama, oleh kerana kesukaran untuk mengekstrak sel telur, pasukan itu tidak me­rancang membuat eksperimen sama kepada wanita. – AFP