WASHINGTON 22 Sept. - Sebuah fosil misteri berbentuk seperti daun gergasi atau cap jari sebesar saiz meja kopi membuatkan para saintis tertanya-tanya sejak berdekad lamanya.

Selepas menggali salah satu daripada fosil tersebut di cenuram berdekatan Laut Putih, barat laut Rusia dan menganalisis kandungannya, para saintis menemukan molekul kolesterol iaitu sejenis lemak.
Para saintis mendapati makhluk terbabit dikenali sebagai Dickinsonia iaitu haiwan terawal di dunia.
“Saintis telah ‘berdebat’ berhubung sifat semula jadi fosil tersebut sejak lebih 75 tahun.
“Lemak fosil itu mengesahkannya adalah Dickinsonia, fosil haiwan tertua, sekali gus menyelesaikan misteri paleontologi selama berdekad lamanya,” kata Profesor Bersekutu Pusat Pengajian Penyelidikan Sains Bumi, Universiti Kebangsaan Australia, Jochen Brocks.
Penemuan itu dimuatkan dalam jurnal Science yang dikeluarkan hari ini.
Dickinsonia berbentuk bujur dan panjangnya boleh tumbuh sehingga 1.4 meter.
Menurut Brocks, analisis menunjukkan haiwan terbabit hidup sekitar 558 juta tahun lalu, berjuta tahun lebih awal berbanding diperkatakan sebelum ini.
Haiwan itu adalah sebahagian daripada Ediacara Biota yang hidup di Bumi ketika bakteria berleluasa iaitu 20 juta tahun sebelum kemunculan kehidupan haiwan moden. – AFP