LONDON 10 Okt. – Aktor Daniel Craig, pemegang watak utama filem James Bond mengakui dia sangat merindui watak perisik 007 itu sekali gus membayangkan akan membawa kembali watak tersebut.
Sebelum ini Craig pernah memberitahu dia lebih rela mengelar tangannya daripada kembali memegang watak Bond.
Namun semasa menghadiri majlis Beyond Bond di Festival New Yorker, aktor itu sudah mula berubah hati dan berminat untuk terus membintangi filem berkenaan.
“Saya mempunyai pekerjaan yang terbaik di dunia dengan memegang watak Bond. Tiada kerja yang setanding dengan apa yang saya lakukan dalam filem ini.
“Jika saya berhenti melakukannya, saya akan sangat merinduinya kerana sebagai pelakon, ini adalah satu perkara paling seronok yang boleh dilakukan,’’ kata aktor berusia 48 tahun itu.
Portal Daily Mirror bagaimanapun melaporkan, Craig menafikan menerima tawaran sebanyak AS$150 juta (RM623 juta) untuk menandatangani kontrak dua lagi filem berkenaan.
“Tiada perbincangan tentang perkara itu,’’ katanya.
Kenyataan Craig itu dibuat susulan kenyataan penerbit eksekutif, Callum McDougall dan penerbit bersama, Barbra Broccoli serta Michael G. Wilson yang menyatakan aktor berkenaan masih lagi menjadi pilihan pertama untuk membawa watak tersebut.
Sejak beberapa bulan lalu, khabar angin berhubung masa depan Craig sebagai Bond telah menjadi tanda tanya dengan beberapa aktor seperti Tom Hiddleston, Aidan Turner dan Idris Elba dikatakan akan menggantikannya.