Foto seorang lelaki yang tidak dikenali dalam keadaan tersenyum dengan dahinya terpapar tatu dimuat naik oleh pencacah Rusia, Roman Bikeev atau Mr. Amsterdam.

Dalam kapsyen foto, Bikeev menjelaskan bahawa lelaki itu telah datang untuk mencacah di leher. Namun kemudian memaklumkan dia tidak berhasrat untuk membayar karya seni itu dan mengakui turut menggunakan helah yang sama pada pencacah lain di Ufa, ibu kota Republik Baskortostan.

Justeru, pencacah itu kemudian memutuskan untuk membalas dendam dengan mecacah tulisan ‘Kidala’ (bermaksud ‘penipu’ dalam bahasa Rusia) pada dahi lelaki itu beserta dengan tandatangannya.

Foto itu yang pada asalnya dimuat naik dalam laman sosial Rusia VKontakte menjadi tular sebelum akhirnya menarik perhatian media.

Bagaimanapun foto itu menimbulkan pelbagai persoalan, antaranya bagaimanakah Bikeev berjaya mencacah perkataan yang memalukan di dahi lelaki itu tanpa tentangan daripada lelaki terbabit, dan mengapa dia tersenyum ketika foto itu diambil?

Sesetengah pengguna media sosial juga menuduh Bikeev sengaja memalsukan semua itu sebagai cara mempromosikan perkhidmatannya. – ODDITY CENTRAL