Menurut portal Mail Online, majlis peletakan batu asas telah diadakan dengan meriah di barat daya wilayah Sichuan bagi menandakan permulaan kerja-kerja pembinaan replika berkenaan.

Projek tersebut sebahagian da­ripada rancangan syarikat Kumpulan Pelaburan Star Energy untuk mempromosikan pelancongan di sepanjang Sungai Qijiang.

Ketua Eksekutif Steven Star, Su Shaojun menegaskan, projek pembinaan replika kapal penumpang Britain itu di China bukan sesuatu yang janggal atau pelik.

“Bukan negara tertentu yang memiliki hak mutlak terhadap sesuatu perkara. Sama se­perti Amerika Syarikat (AS) yang menerbitkan filem Kung Fu Panda atau Mulan.

“Bagi China, Titanic mewakili sesuatu bersifat sejagat,” jelasnya.

Pelan replika tersebut mencetuskan kontroversi kerana turut menyediakan simulasi kemalangan melibatkan kapal tersebut di Lautan Atlantik pada 15 April 1912.

Shaojun berkata, pihaknya menghormati tragedi Titanic dan berusaha untuk tidak menyinggung perasaan walaupun menerima kritikan ramai kerana cuba mencipta semula bahan sejarah yang telah mengorbankan lebih 1,500 nyawa untuk tujuan pelancongan.

Menurut beliau, projek itu dijang­ka siap sepenuhnya akhir tahun depan dan Pereka Produksi serta Penerbit terkenal Holly­wood, Curtis Schnell dilantik sebagai pakar reka bentuk projek tersebut.

“Kami cuba untuk membinanya dengan menyamai rekaan asal Titanic. Hanya reka bentuk luar akan dibina dengan tepat,” jelasnya.