Tindakan ini memberikan isyarat bahawa China mungkin mengurangkan sekatan ke atas had kelahiran anak bagi mengatasi masalah meningkatnya penduduk yang semakin berusia.

Menurut suruhanjaya tersebut, sebuah pejabat baharu bertujuan ‘memantau bilangan penduduk dan pembangunan keluarga’ akan ditubuhkan selain bertanggungjawab ‘meningkatkan polisi kelahiran, menyusun pelaksanaan, menubuhkan serta meningkatkan sistem bantuan kekeluargaan untuk perancangan keluarga’.

Suruhanjaya terbabit masih bertanggungjawab terhadap ‘peng­­urusan perancangan keluar­ga dan kerja pemantapan serta ‘memperbaiki polisi perancangan keluarga’.

Perkataan ‘perancangan ke­luar­ga’ digugurkan daripada nama suruhanjaya itu pada Mac lalu, sebagai sebahagian daripada usaha China untuk merombak jabatan kerajaan dan mengurangkan karenah pengubalan dasar.

Selain itu, media tempatan turut memberi bayangan bahawa China mungkin telah bersedia untuk menamatkan dasar tersebut yang dipraktikkan sejak berdekad lamanya.

Lapor Channel News Asia, spekulasi penamatan dasar ber­kenaan turut diperkuatkan dengan pendedahan setem baharu oleh China Post yang menunjukkan gambar lima sekeluarga khin­zir dan draf kod sivil yang tidak menyebut mengenai perancangan keluarga.

China telah melonggarkan dasar perancangan keluarganya ekoran populasi penduduknya yang semakin berusia, kadar kelahiran perlahan dan penurunan tenaga kerja.

Pada 2016, China membenarkan pasangan di bandar mempunyai dua orang anak, menggantikan dasar seorang anak yang dikuatkuasakan sejak 1979.

Menurut Divisyen Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sehingga tahun lalu, mereka yang berumur 60 tahun mewakili kira-kira 16.2 peratus penduduk China, berbanding 7.4 peratus pada 1950.