Lapor Tribunnews, Evi se­ngaja datang ke MK kerana ingin menamatkan kekecohan yang tular dalam media sosial sekali gus membuktikan kepada masyarakat dan hakim bahawa tiada perbezaan gambar yang digunakan semasa Pileg dan dirinya yang sebenar.

“Tuduhan itu saya sangkal dengan kehadiran di sini. Jadi, daripada bising-bising dan untuk membuktikan secara langsung, saya datang dan masyarakat terutamanya hakim boleh menilai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita sebelum memasuki ruang sidang sidang panel III MK selepas didakwa melanggar peraturan pentadbiran serta pro­ses pemilihan umum (Pemilu) di sini.

Evi berkata, beliau hairan dengan tindakan pengadu, Farouk Muhammad mempersoalkan suntingan gambarnya pada bahan kempen dan kertas undi semasa Pileg itu yang didakwa menipu masyarakat dan merugikan calon anggota DPD yang lain.

“Saya tidak tahu had ke­terlaluan itu seperti apa, namun apa yang pasti kita ingin tampil dan memberikan gambar terbaik.

“Malah ukuran cantik itu juga adalah subjektif,” ujarnya.

Semasa Pileg yang lalu, Evi memperoleh undi terbanyak berbanding calon DPD lain termasuk pengadu dengan mendapat 283,932 undi. – AGENSI