Portal berita RT News me­laporkan, perkara itu didedahkan oleh akhbar rasmi Turki, Sabah menerusi beberapa imej imbasan sinar X beg pakaian milik anggota kumpulan tersebut ketika mereka meninggalkan Turki.

Pendedahan itu secara tidak langsung menggambarkan bahawa kematian Jamal sememangnya dirancang lebih awal dan bukannya tidak disengajakan seperti didakwa Arab Saudi sebelum ini.

Sabah juga melaporkan bahawa terdapat dawai kokot dalam satu daripada beg pakaian tersebut bertujuan untuk menutup atau mengelak beg plastik yang mengandungi keratan mayat Jamal, daripada terbuka.

Selain itu, beberapa alatan elektronik juga ditemukan dalam beg-beg berkenaan yang digunakan sebagai alat komunikasi sesama mereka termasuk 10 buah telefon bimbit, radio mudah alih dengan wal­kie-talkie dan peranti pemati isyarat.

Beberapa imej imbasan tersebut disiarkan selepas Ketua Meja Jenayah akhbar Sabah, Nazif Karaman mendedahkan bahawa Jamal merayu supaya beg plastik yang ditekup pada kepalanya ditanggalkan kerana dia berasa lemas.

Pendedahan itu dibuat berdasarkan ra­kaman audio yang diperoleh pasukan penyiasat ­Turki.

Turki mendakwa memperoleh sejumlah rakaman audio berkaitan pembunuhan Jamal sejak awal Oktober lalu ketika wartawan Washington Post itu dilaporkan hilang dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Sehingga kini, Ankara sudah berkongsi rakaman audio tersebut dengan beberapa negara termasuk Arab Saudi, Amerika Syarikat, United Kingdom, Pe­rancis dan Jerman.

Sementara, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu menyifatkan kenyataan Arab Saudi tentang pembunuhan Jamal sebagai tidak mencukupi.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja Arab Saudi mengakui bahawa Jamal telah diberikan dadah dan anggota badannya dipotong dalam konsulat negara itu di Istanbul.

Pendakwa Riyadh berkata, anggota badan yang dipotong itu kemudiannya diserahkan kepada seorang ejen negara yang berada di halaman konsulat dan lima pegawai negara itu berdepan hukuman mati kerana melakukan pembunuhan itu.