Lapor al-Araby, penegasan itu dinyatakan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Ke­satuan Eropah (EU).

Surat berkenaan dihantar kepada EU minggu lalu, menje­lang undian oleh ahli Parlimen Eropah yang menyokong resolusi membantah undang-­undang syariah itu.

Surat dengan empat muka surat menyatakan pelaksanaan undang-undang tersebut akan jarang dilaksanakan kerana memerlukan dua saksi lelaki yang bermoral tinggi serta beriman.

“Hukuman hudud seperti rejam sampai mati dan memotong tangan pesalah untuk kesalahan seperti mencuri, merompak, zina serta liwat, memerlukan tidak kurang daripada dua atau empat lelaki yang bermoral tinggi dan beriman sebagai saksi selain pengecualian setiap bentuk bukti mengikut keadaan,” jelas kenyataan tersebut.

Undang-undang syariah itu merangkumi hukuman rejam sampai mati untuk pesalah seks sesama lelaki manakala pengamal seks sesama wanita boleh dikenakan hukuman sebatan sebanyak 40 kali atau 10 tahun penjara.

Negara ini yang diperintah oleh Sultan Hassanal Bolkiah turut mempertahankan keputusannya memperkenalkan hukuman sebatan.

“Pesalah perlu berpakaian, sebatan tersebut dilakukan pada tahap sederhana dan hayunan sebatan itu tidak boleh melebihi paras kepala serta tidak akan mengakibatkan luka di kulit atau patah tulang dan tidak boleh dilaksanakan di bahagian muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit,” tambah surat terbabit.

Sultan Hassanal Bolkiah meng­umumkan undang-undang syariah pada 2013 dan seksyen pertama diperkenalkan setahun kemudian termasuk penalti yang kurang ketat se­perti denda atau penjara bagi kesalahan tingkah laku tidak senonoh, atau meninggalkan solat Jumaat.