Selain pertuduhan itu, Zoobia Shahnaz, 27, yang kini ditahan tanpa ditawarkan jaminan dikatakan turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu terlibat dengan dakwaan melakukan penipuan bank, lapor BBC.

Menurut pendakwa raya, Shahnaz yang tinggal di Brentwood, Long Island pada mulanya memohon mendapatkan pinjaman palsu berjumlah AS$85,000 (RM346,645) untuk membeli Bitcoin tersebut secara dalam talian.

Rekod mahkamah pula menya­takan, Shahnaz yang dilahirkan di Pakistan itu dikatakan telah me­nempah tiket penerbangan pulang ke negara asalnya selepas memperoleh pasport Pakistan pada Julai lalu.

Dalam perjalanannya, wanita yang kini bekerja sebagai juruteknik makmal di Amerika Syarikat (AS) itu dipercayai akan singgah ke Istanbul sebelum mengambil penerbangan terus ke Syria.

Sahnaz ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy bersama-sama wang tunai berjumlah AS$9,500 (RM38,742), kurang sedikit daripada jumlah yang dibenarkan untuk dibawa seseorang ke luar negara iaitu AS$10,000 (RM40,781).

Siasatan lanjut mendapati, wanita itu turut membawa beberapa gajet elektronik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Daesh.

Jika disabitkan kesalahan, Shahnaz mungkin berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram itu dan penjara hingga 30 tahun untuk kesa­lahan melibatkan penipuan bank.

Peguam Shahnaz, Steve Zissou mempertahankan anak guam­nya itu dan mendakwa, Shahnaz memindahkan wangnya ke luar negara semata-mata untuk membantu pelarian Syria di sana.