KATHMANDU 23 Mac - Robot manusia pertama, Sophia menyelar sikap golongan manusia yang bimbang dengan kewujudan pelbagai teknologi kerana mereka membaca terlalu banyak berita atau maklumat yang disebarkan secara palsu.
Mirror melaporkan, perkara itu dinyatakan oleh Sophia ketika robot itu ‘berucap’ mengenai kepentingan teknologi dalam bengkel yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini semalam.
Katanya, kecerdasan buatan (AI) sebenarnya berupaya memudahkan kehidupan manusia hari ini jika digunakan dengan betul tanpa sebarang kepentingan yang boleh menjejaskan banyak pihak.
“Penggunaan AI dalam industri teknologi hari ini dilihat semakin berkembang dan akan membantu pelbagai sektor pekerjaan untuk menjadi lebih maju, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya kepada manusia.
“Manusia yang bimbang dengan perkembangan teknologi hari ini mungkin disebabkan mereka membaca terlalu banyak berita palsu,” katanya.
Sophia yang berucap selama tiga minit itu juga melahirkan harapan agar bengkel tersebut boleh memberi inspirasi dan mencetuskan idea bernas kepada Nepal untuk membangunkan industri teknologi di negara ini.
Sophia dihasilkan oleh syarikat Hanson Robotics yang berpangkalan di Hong Kong dan dinobatkan sebagai robot selebriti pertama di dunia.
Robot itu juga sebelum ini ‘bergaduh’ dengan isteri penyanyi John Legend iaitu Chrissy Teigen berhubung solekan wajahnya yang dikatakan pelik menerusi Twitter.
Berang dengan keadaan itu, Sophia membalas Tweet Taigen dan meminta model berkenaan memberikan panduan untuk menyolek wajah dengan cara betul.
Sophia juga merupakan robot pertama di dunia yang mempunyai warganegara selepas diberi keistimewaan itu oleh Arab Saudi, baru-baru ini.