Misi BepiColombo tanpa manusia itu cuba mendapatkan data lebih tepat menggunakan kenderaan angkasa iaitu ‘Mercury Planet Orbiter’ untuk mengkaji kandungan dalaman dan permukaan planet itu.

Kenderaan angkasa itu pula akan mengkaji ruang angkasa di sekeliling planet yang dipe­ngaruhi medan magnetik.

Kedua-duanya dibawa menggunakan roket Ariane 5 namun perlu menjelajah selama tujuh tahun dan sembilan juta kilo­meter untuk tiba ke destinasi.

Planet Utarid terletak sejauh 58 juta kilometer dari matahari iaitu tiga kali lebih dekat dengan Bumi.

“Untuk memahami bagaimana planet Bumi terbentuk maka kita perlu memahami bagaimana semua planet berbatu terbentuk,” kata ahli astronomi dari Paris Observatory, Alain Dorresoundiram.

Menurut jurutera Pusat Penyelidikan Angkasa Lepas Kebangsaan Perancis dan ketua pasukan negara itu yang menyertai misi, Pierre Bousquet, Utarid mempunyai bentuk ‘kecil yang luar biasa’ sehingga mencetuskan spekulasi pernah terselamat semasa perlanggaran besar pada masa dahulu.

“Kawah besar yang kelihatan di permukaan planet ini mungkin kesan akibat perlanggaran itu. Oleh yang demikian salah satu misi BepiColombo adalah untuk mencari kebenaran ini,” katanya.

Misi terdahulu berjaya me­ngesan bukti kewujudan ais di kawasan paling dalam kawah.

“Jika kehadiran ais ini disahkan maka ini bermakna beberapa contoh air yang diperoleh terdahulu membawa kita kepada asal usul sistem solar,” kata Dorresoundiram. – AFP