Lapor Business Insider, misi itu dijalankan beberapa minggu selepas Presiden Vladimir Putin mengembar gemburkan ke­upayaan tentera negara ini.

“Misi itu berjaya disempurnakan, kapal selam itu muncul di lokasi laut yang ditetapkan dan kembali ke pangkalan,” ujar Pegawai Kapal Selam Tentera Laut Rusia, Sergey Starshinov.

Tambah Starshinov, kapal tersebut mendekati dan meninggalkan pangkalan AS tanpa dikesan dan tindakan itu tidak melanggar sempadan maritim AS, meskipun berada ‘hampir’ dengan pangkalan tentera AS.

Bagaimanapun, misi berkenaan tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana tiada pengesahan pihak ketiga sama ada Rusia benar-benar menjalankan operasi berkenaan.

Malah, fakta bahawa misi itu akan dijadikan sebagai sebahagian rancangan bersiri televisyen di negara ini, berkemungkinan bertujuan untuk menyebarkan propaganda.

Sementara itu, kapal selam terbabit yang membawa peluru berpandu jarak jauh dan mampu di lancarkan dari dalam laut, tidak mempunyai sebab untuk berada berdekatan kawasan AS kerana mampu melancarkannya pada jarak lebih daripada 2,414 kilo­meter.

Dalam perkembangan lain, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menuduh Rusia cuba merancang satu kempen serangan siber yang di­sasarkan terhadap bekalan kuasa negara kuasa besar dunia itu.

Menurut portal National Public Radio (NPR) memetik laporan Jabatan Keselamatan dalam Negara dikeluarkan Khamis lalu sebagai berkata, sejak Mac 2016, penggodam Rusia dilihat cuba menceroboh pelbagai sektor infrastruktur termasuklah tenaga, nuklear, kemudahan komersial, air, penerbangan dan pembuatan.

Laporan tersebut dikeluarkan selepas Rumah Putih mengenakan sekatan terhadap 19 individu dan lima firma Rusia yang didakwa campur tangan dalam pilihan raya Presiden AS pada 2016 serta serangan siber lain.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat keselamatan siber Dragos, Robert Lee berkata, walaupun Rusia tidak pernah bertindak sejauh itu, tetapi Rusia mempunyai keupayaan untuk mengganggu atau menutup sepenuhnya loji janakuasa atau infrastruktur lain di AS.