LOS ANGELES 15 Mac – Pelakon kacak, Ben Affleck mengakui telah selesai menjalani rawatan ketagihan arak dan berazam untuk menjadi seorang bapa yang baik.
Affleck, 44, dalam status di akaun Facebook miliknya menjelaskan, rawatan yang dijalani itu merupakan langkah ke arah pemulihan diri.
“Terima kasih kepada isteri saya (Jennifer Garner) yang banyak membantu. Saya baru selesai menjalani rawatan ketagihan arak, sesuatu yang pernah saya hadapi sebelum ini dan akan terus mengatasinya,” katanya.
Menurut pelakon tersebut, dia mahu anak-anaknya memahami satu perkara iaitu tidak perlu malu untuk mendapatkan pertolongan apabila perlu.
“Selain itu saya mahu mereka menjadi sumber kekuatan kepada mana-mana individu di luar sana yang memerlukan bantuan namun takut untuk berbuat demikian,” jelasnya.
Affleck dan Garner yang mempunyai tiga orang anak mengumumkan rancangan untuk bercerai pada Julai 2015 selepas berkahwin selama 10 tahun.
Namun baru-baru ini, pasangan itu mendakwa telah membatalkan rancangan berkenaan. – REUTERS