BEG pakaian bergerak sendiri ciptaan ForwardX diperkenalkan pada Pameran Produk Elektronik Pengguna 2018 di Las Vegas, baru-baru ini. AFP

Menerusi Pameran Produk Elektronik Pengguna 2018 di Las Vegas baru-baru ini, syarikat Travelmate yang berpangkalan di California mendedahkan ciptaan beg pakaian baharu yang dilengkapi dengan teknologi sama seperti kereta tanpa pemandu.

Syarikat tersebut mendapat idea untuk menghasilkan ‘beg pakaian robot’ bagi memudahkan pengguna membawa beg yang diisi dengan muatan berat.

Pengasas dan Presiden Tra­velmate, Maximillian Kovtun berkata, beg pakaian robot tersebut boleh dikawal menggunakan aplikasi telefon pintar dan mampu ‘bergerak’ sendiri de­ngan kelajuan sehingga 11 ki­lometer sejam.

“Beg pakai­an tersebut dilengka­pi dengan tek­nologi ‘Kecerdasan Bu­atan’ yang boleh dikawal menggunakan telefon pintar sama seperti penggunaan dron.

“Beg itu juga boleh ‘berjalan’ seiiring dengan pengguna tanpa memerlukan daya tolakan atau tarikan,” katanya.

Gajet terbaharu itu akan dijual pada harga AS$1,100 (RM4,389) dan dijangka memasuki pasaran di Amerika Syarikat (AS) pada Februari ini dan kemudian di Eropah dan Jepun.

Dalam pada itu, sebuah lagi syarikat yang berpangkalan di California iaitu ForwardX turut menghasilkan beg pakaian berteknologi tinggi, sekali gus menjadi pesaing kepada Travelmate.

Beg yang dinamakan Koper ForwardX itu tidak memerlukan kawalan daripada telefon pintar, sebaliknya ia dilengkapi dengan teknologi kawalan isyarat yang boleh dilancarkan untuk mengelak kecurian.

Pengasasnya, Nicholas Chee menyatakan bahawa beg tersebut berfungsi menggunakan visi komputer dan algoritma bagi mewujudkan pergerakan yang jelas.

“Kami menjangkakan pelancaran beg tersebut pada perte­ngahan 2018 dengan harga bawah AS$1,000 (RM3,989),” ujarnya.

Sementara itu, kedua-dua syarikat tersebut memberi jaminan bahawa produk mereka mematuhi tahap piawai keselamatan AS. – AFP