BBC melaporkan, wanita itu, Sonia Okome berkata, tindakan hospital memisahkan dia dengan anaknya selama lima bulan meng­akibatkan penghasilan susu badannya terhenti.

Kes melibatkan bayi yang dinamakan sebagai Angel itu nyata menggemparkan negara ini dan Okome berjaya meraih sokongan orang awam.

Bil perubatan Angel berjumlah dua juta CFA (RM14,292) berjaya dilunaskan selepas satu kempen dilancarkan bagi mewakili keluar­ga tersebut.

Malah, Presiden Gabon, Ali Bo­ngo merupakan antara penyumbang dana kempen terbabit.

Dalam pada itu, pengarah hospital terbabit yang namanya tidak didedahkan ditahan pihak berkuasa atas tuduhan menculik bayi itu tetapi tuduhan terbabit digugurkan sehari kemudian.

Angel akhirnya dibenarkan keluar daripada hospital itu yang terletak di utara ibu negara ini, minggu ini.

“Saya amat gembira dapat bersama anak saya semula tetapi saya sedih kerana tidak dapat memberinya susu badan apabila tempoh berpisah selama lima bulan itu mengakibatkan pengeluaran susu badan terhenti,” katanya.

Tambah Okome, dia turut kecewa kerana pihak hospital tidak memberikan anaknya sebarang vaksin.

Bil yang perlu dijelaskan Oko­me melibatkan kos rawatan selama 35 hari Angel ditempatkan dalam inkubator selepas dilahirkan pramatang.