Syria menyifatkan Barat sengaja berbohong mengenai laporan tersebut menggunakan ‘tentera upahan’ mereka di negara itu.

Pada 1 Mac lalu, OPCW mengesahkan terdapat penggunaan klorin dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Syria di pekan Douma berhampiran Damsyik pada 7 April lepas.

“Syria menolak sepenuhnya kesimpulan yang dibuat oleh pasukan OPCW kerana laporan itu tidak mempunyai perbezaan dengan laporan yang pernah dibuat sebelum ini iaitu kesemua faktanya diubah dengan sengaja,” menurut kenyataan Kementerian Luar Syria yang dipetik agensi berita SANA.

Kenyataan itu juga mengkritik OPCW kerana tidak mengendahkan maklumat yang diberikan beberapa saksi bahawa kumpulan pemberontak dengan bantuan kumpulan penyelamat dari Britain, White Helmets yang melancarkan serangan kimia terbabit.

“Penulis laporan itu enggan mengguna pakai kenyataan daripada beberapa saksi yang benar-benar terlibat dalam insiden tersebut,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan tersebut juga menyelar United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Perancis yang menjadikan serangan itu sebagai ‘tiket kebenaran’ untuk ketiga-tiga negara berkenaan melancarkan serangan peluru berpandu ke Syria sehingga memusnahkan banyak kemudahan di negara terbabit.

Jelas kenyataan itu, Syria menyediakan pelbagai kemudahan kepada OPCW untuk membantu siasatan dengan harapan pasukan itu dapat meneliti secara profesional dan logik.

Sehubungan itu, Syria mendesak semua negara anggota OPCW supaya mendedahkan laporan sebenar dan melantik badan penyiasat yang profesional, adil dan bersikap neutral.