Seperti mana kita sedia maklum, krisis Islamofobia dilihat mulai meruncing sejak peristiwa serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS) yang dilancarkan oleh kumpulan militan.

Sejak itu, masyarakat dunia mulai memandang serong terhadap agama dan orang Islam. Mereka beranggapan masyarakat Islam gemar me­lakukan sesuatu dengan menggunakan taktik keganasan. Ditambah pula dengan peningkatan kemunculan kumpulan pengganas Daesh di Asia Barat; kumpulan pemisah Abu Sayyaf di Filipina; Jemaah Islamiyah (JI) di Indonesia dan yang seangkatan dengannya.

Jika dilihat pada senario semasa, diskriminasi terhadap golongan Islam dilihat sudah mencapai tahap membimbangkan. Mengambil contoh semasa ialah diskriminasi etnik Islam Uighur di wilayah barat Xinjiang, China dan Rohingya di ne­geri Rakhine, Myanmar.

Dua situasi terbabit jelas menggambarkan Islamofobia masih ‘merebak’ seperti virus dalam kalangan masyarakat dunia dan mungkin sukar untuk ditangani selagi wujudnya pandangan skeptikal terhadap Islam dan umatnya.

Walau bagaimanapun, masih wujud usaha atau inisiatif yang cuba dilakukan oleh individu dan pertubuhan tertentu yang ‘bertungkus-lumus’ cuba memulihkan imej Islam di mata dunia.

Terbaharu, foto seorang wa­nita berhijab menenangkan dua mangsa tikaman suspek tidak dikenali di Manchester, Britain pada 2 Januari lalu tular dalam media sosial dan mendapat pujian orang ramai.

Gambar itu mendapat perhatian bekas pendakwa raya terkenal, Nazir Afzal. Nazir menerusi Twitter miliknya menulis: “Be­rita yang amat mendukacitakan namun Manchester telah me­nunjukkan bagaimana mereka bersatu berdepan dengan tindakan yang cuba memecahbelahkan kita. Wanita berhijab yang membantu mangsa tikaman itu lebih menggambarkan tentang Islam berbanding suspek yang melakukan serangan”.

Senario hampir sama berlaku apabila lebih 1,000 anggota Persatuan Belia Muslim Ahmadiyya­ (AMYA) bergotong-royong membersihkan jalan raya di 50 buah pekan serta bandar di United Kingdom (UK) selepas sambutan tahun baharu.

Seorang anggota AMYA, Imam Qamar Zafar berkata, aktiviti berkenaan dapat memastikan golongan muda Islam bergiat aktif dalam masyarakat dan berbakti kepada komuniti serta alam sekitar, seiring dengan tuntutan Islam.

Sementara itu, Majlis New­ham di Britain menjadi yang pertama menerapkan definisi rasmi berhubung Islamofobia dalam usaha untuk menangani isu perkauman dalam kalangan penduduk tempatan.

Ahli Majlis Newham meluluskan usul yang menyaksikan pihak berkuasa tempatan menyokong Kumpulan Semua Parti Parlimen (APPG) berhubung definisi Islamofobia terhadap kaum Islam Britain.

“Sebahagian besar penduduk Newham adalah Islam, yang memainkan peranan besar dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Penduduknya sentiasa bersatu dan saling menyokong dalam memerangi perkauman dan diskriminasi,” kata Ahli Majlis Newham, Zulfiqar Ali baru-baru ini.

Di AS yang majoriti penduduknya masih dibelenggu Islamofobia, ahli parti Demokrat, Rashida Tlaib dan Ilhan Omar menjadi wanita beragama Islam pertama terpilih menjadi anggota Kongres.

Rashida dilahirkan di Detroit dan keluarganya berasal dari Palestin manakala Ilhan pula tiba di negara itu ketika kecil dari kem pelarian di Kenya selepas melarikan diri daripada perang saudara di Somalia.

Rashida sebelum ini bersumpah untuk merombak se­mula semua struktur perkauman dan penindasan manakala lhan menggantikan wakil Minnesota, Keith Ellison, yang me­rupakan orang Islam pertama dipilih untuk mewakili Kongres.

Tambah menarik, kedua-dua wanita tersebut mengangkat sumpah di depan al-Quran sambil memakai baju tradisional masing-masing pada 3 Januari lalu.

Melihat kepada keterbukaan masyarakat dunia terhadap komuniti Islam di kebanyakan negara terutamanya Barat harus dipuji. Seiring dengan pereda­ran masa, masyarakat dunia mulai berfikiran terbuka dan dapat menerima Islam.