Keputusan ke atas Rene Lopez, 41, itu dilihat sebagai hukuman penjara paling lama pernah dibuat dalam sejarah penghakiman Mahkamah Tinggi Fresno.

Hakim pada September lalu mendapati Lopez bersalah terhadap 186 pertuduhan jenayah melakukan serangan seksual ke atas anak perempuannya termasuk dakwaan rogol ke atas gadis bawah umur.

Menurut pendakwa raya, anak perempuan Lopez pertama kali dirogol oleh seorang rakan keluarga namun di sebalik melindunginya, tertuduh menjadikan anaknya sebagai mangsa rogol.

Jelas pendakwa raya, gadis itu dirogol sebanyak dua hingga tiga kali seminggu iaitu dari Mei 2009 hingga Mei 2013 sebelum mangsa mendapat keberanian untuk melarikan diri.

Ketika mengumumkan kepu­‑tu­sannya, Hakim Edward Sarkisian Jr. berkata, Lopez merupakan seorang individu berbahaya kepada masyarakat dan lelaki itu juga tidak pernah menunjukkan penyesalan selain menya­lahkan anak perempuannya untuk kesusahan yang dialami.

“Ketika bapa merogol saya, saya masih kecil dan tidak mempunyai kekuatan atau bersuara,” kata anaknya yang kini berusia 23 tahun.

Mangsa menambah, bapanya langsung tidak menunjukkan rasa kesal atas penderitaan yang dialaminya. – AGENSI