Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh White House sebaik sahaja Trump mengangkat sum­pah jawatannya, Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tindakan tegas kepada negara-negara yang melanggar perjanjian perdagangan atau melakukan sebarang keputusan yang boleh menjejaskan golongan pekerja AS.

Jelas kenyataan itu, Trump komited untuk melakukan run­dingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA), yang telah ditandatangani pada tahun 1994 oleh AS, Kanada dan Mexico.

“Sudah sekian lama, rakyat AS dipaksa menerima perjanjian perdagangan yang lebih mementingkan pihak dalaman dan golongan elit Washington berbanding tenaga kerja rakyat negara ini.

“Berikutan itu, kilang-kilang di bandar-bandar besar ditutup dan operasi yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan dipindah ke negara luar, manakala rakyat negara ini berdepan kadar defisit perdagangan yang tinggi dan industri pengeluaran yang merudum,” katanya.

White House memberitahu, perjanjian yang lebih tegas dan adil boleh digunakan untuk mengembangkan ekonomi AS dan mengembalikan jutaan pekerjaan ke negara ini.

“Strategi bermula dengan menarik balik TPPA dan memastikan sebarang perjanjian daga­ngan akan lebih mengutamakan kepentingan pekerja dalam kala­ngan rakyat AS,” tambah kenya­taan tersebut.

Dalam kenyataan itu, kerajaan baharu pimpinan Trump turut mengugut untuk menarik diri daripada kerjasama dalam NAFTA sekiranya negara terlibat enggan menyediakan tawaran yang adil kepada pekerja AS dalam perundingan semula perjanjian.

TPPA yang telah ditandatangani AS tetapi belum disahkan lagi me­rupakan tunjang ekonomi utama pentadbiran bekas Presiden Barack Obama dan menjadi mekanisma kepada negara-negara di Asia Pasifik untuk mendepani perkemba­ngan pesat ekonomi di China.

Sebanyak 12 buah negara yang menyertai TPPA termasuk Malaysia menyatakan kebimbangan bahawa usaha menjayakannya yang mengambil masa hampir beberapa tahun untuk dipersetujui itu, boleh mengukuhkan lagi penguasaan ekonomi China di rantau ini. – REUTERS