MIKE POMPEO

Dalam surat kepada negara-negara Eropah, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, AS menolak rayuan itu kerana mahu memberi tekanan maksimum kepada Iran.

Portal berita BBC melaporkan, Pompeo menegaskan dalam surat tersebut bahawa pengecualian hanya akan dibuat jika memberi manfaat kepada keselamatan AS.

EU bimbang perdagangan bernilai berbilion dolar bakal terjejas ekoran sekatan terbaharu yang dikenakan Washington ke atas Iran.

“Kami akan berusaha memberikan tekanan kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Iran,” jelas surat yang turut ditandatangani oleh Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, menurut laporan berita NBC.

Jelas surat itu, AS tidak berada dalam kedudukan untuk membuat pengecualian terhadap dasar tersebut kecuali dalam keadaan yang sangat spesifik.

Sekatan yang tegas dikenakan pada Mei lalu selepas Presiden AS, Donald Trump menarik diri daripada perjanjian antarabangsa 2015 mengenai program nuklear Iran.

Tindakan AS itu menyebabkan sekatan yang wujud sebelum perjanjian itu ditandatangani telah dikuatkuasakan semula.

Penolakan AS terhadap kese­pa­katan itu bertentangan de­ngan Perancis, Jerman dan United King­dom yang telah menyatakan komitmen untuk meneruskan perjanjian itu.

Beberapa firma terbesar Ero­pah telah mewujudkan peluang perniagaan dengan Iran selepas perjanjian nuklear berlaku tiga tahun lalu.

Tahun lalu, eksport EU ke Iran melibatkan barangan dan per­khid­matan berjumlah 10.8 bilion euro (RM51.2 bilion) sementara import dari Iran ke blok berke­naan bernilai 10.1 bilion euro (RM47.80 bilion), meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Namun, kini firma perniagaan Eropah bimbang hubungan mereka dengan AS akan terjejas jika meneruskan peluang perniagaan dengan Iran.

Tetapi pada awal tahun ini, EU mula mengkaji undang-undang yang dikatakan akan membenarkan syarikat-syarikatnya terus menjalankan perniagaan dengan Iran.