Rusia telah meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk membincangkan tentang kelewatan itu dalam mesyuarat tertutup semalam.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh AFP, pengecualian itu akan membolehkan komponen paip yang diperlukan untuk memperbaiki kemudahan kesihatan, peralatan perladangan seperti traktor dan barangan keperluan lain bagi tujuan projek kemanusiaan.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata, AS akan ‘mengambil masa’ untuk meneliti semua permohonan berkenaan bagi memastikan ia benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

Haley turut mendakwa Rusia cuba menyebelahi Korea Utara dengan menimbulkan isu sekatan di UNSC.

Seramai 10.3 juta orang atau 41 peratus penduduk Korea Utara mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Permohonan yang dikemukakan oleh Ireland pada Ogos lalu untuk membenarkan agensi kemanusiaan terbesarnya, Concern Worldwide bagi melaksanakan empat projek bantuan di Korea Utara masih belum diluluskan.

Selain itu, syarikat Agrotec Spa di Itali turut meminta kebenaran untuk mengeksport traktor, alat ganti dan treler ke Korea Utara, di bawah program Kesatuan Eropah (EU) bagi meningkatkan keselamatan makanan.

AS juga ‘enggan melayan permintaan’ China dan Rusia supaya hukuman sekatan ke atas Pyongyang dikurangkan selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilihat bersungguh-sungguh menghentikan ujian peluru berpandu dan sudi mengadakan dialog dengan Washington.

Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump melaksanakan sekatan maksimum supaya Jong-un meneruskan janjinya untuk melakukan pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

“Kami telah banyak memberi peluang sehingga kini. Kami tidak akan mengurangkan sekatan kerana mereka tidak memberikan jaminan untuk kami menarik balik sekatan tersebut,” kata Haley. – AFP