Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun diletakkan pada Tahap Satu yang merujuk kepada tahap nasihat yang pa­ling rendah untuk risiko ke­selamatan atau perlu berwaspada seperti biasa.

Antara negara Asia Tenggara lain yang mendapat ranking Tahap Satu adalah Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam ketika Indonesia serta Filipina diletakkan pada Tahap Dua.

Sebanyak 10 negara zon perang dan ‘negara gagal’ dise­naraikan pada Tahap Empat (jangan pergi) iaitu Afghanistan, Republik Afrika Tengah, Iran, Iraq, Libya, Mali, Somalia, Sudan Selatan, Syria dan Yemen.

Korea Utara juga tersenarai pada Tahap Empat dengan sekatan tambahan yang menyaksikan undang-undang AS mela­rang rakyat negara ini daripada menggunakan pasport mereka ke Pyongyang.

Bagaimanapun rating beberapa negara mungkin menarik perhatian atau kemarahan antarabangsa namun sistem amaran perjalanan sering menjadi isu kontroversi dan kerap menyinggung negara asing.

“Ini bukan dokumen politik tetapi berasaskan penilaian kami terhadap keadaan keselamatan,” kata pegawai konsular kanan, Michelle Bernier-Toth.

Menarik perhatian, sekutu utama AS di Eropah seperti Bri­tain, Perancis dan Jerman di­letakkan pada Tahap Dua yang merujuk kepada ‘perlu lebih berwaspada’ ketika negara kuku besi Uzbekistan diletakkan pada Tahap Satu iaitu ‘perlu berwaspada seperti biasa’.

Kelmarin, Senator Amerika mendengar pegawai Jabatan Negara AS sebagai berkata, seseorang yang diketahui oleh kerajaan Cuba mempunyai senjata misteri yang mereka gunakan bagi mengakibatkan trauma otak kepada rakyat Amerika di Havana.

Namun Cuba hanya disenaraikan pada Tahap Tiga atau ‘pertimbang semula perjalanan’ dengan pegawai kerajaan menjelaskan perubahan itu dibuat bagi memberi nasihat lebih jelas kepada rakyat AS yang merancang untuk membuat lawatan.

Beberapa negara sebelum ini mengadu sistem amaran perjalanan itu sebagai membesarkan bahaya dan merosakkan pelancongan selain percaya mereka dikenakan teguran diplomatik oleh AS.

Bagaimanapun setiap amaran itu disertakan dengan halaman sebuah negara di laman web travel.state.gov menjelaskan ancaman khusus yang dikenal pasti dan mengapa nasihat perjalanan diberikan.

Mexico yang diberikan Tahap Kedua sebelum ini mendakwa amaran perjalanan AS itu menjejaskan industri pelancongannya namun laman web berkenaan memberi butiran kawasan yang perlu dielakkan kerana terlibat keganasan kartel dadah.

Lebih mengejutkan, AS yang mempunyai kadar pembunuhan per kapita 4.88 bagi 100,000 orang tidak menyenaraikan negara ini dalam sistem baharu tersebut. – AFP