Langkah tersebut dilihat sebagai usaha untuk menekan Beijing melaksanakan konsesi perdaga­ngan, kata sumber.

Antara barangan yang terlibat ialah produk makanan, bahan kimia, aluminium, keluli, bara­ngan pengguna seperti makanan anjing, perabot dan permaidani sehinggalah tayar kereta, basikal, sarung tangan besbol dan produk kecantikan.

Tarif berkenaan tidak akan di­kuatkuasakan sehingga mene­rima maklum balas awam namun cadangan menaikkan kadar sehingga 25 peratus akan meningkatkan pertikaian perdagangan antara kedua-dua negara.

Kata sumber tersebut, pentadbiran Trump akan mengumumkan cadangan lebih keras hari ini iaitu rancangan pelaksanaan kadar dua kali ganda tarif yang pernah di­siarkan oleh Bloomberg News.

China masih belum memberi se­barang maklum balas berhu­bung rancangan itu.

Pada bulan lalu, Beijing men­dakwa AS cuba membuli negaranya dan memberi amaran akan bertindak balas.

Para pelabur bimbang perang perdagangan antara Washington dan Beijing akan menjejaskan pertumbuhan global malah kumpulan perniagaan terkemuka AS turut mengutuk tarif agresif Trump itu.

Pasaran saham dunia semalam menyaksikan pengukuhan sele­pas terdapat laporan AS dan China akan berusaha menyambung perbincangan untuk meredakan perang perdagangan itu.

Wakil Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan Timbalan Perdana Menteri, Liu He dilaporkan telah mengadakan pertemuan sulit untuk memulakan rundingan, lapor Bloomberg yang memetik satu sumber.

Awal Julai lalu, AS telah me­ngenakan tarif 25 peratus terhadap barangan import dari China yang bernilai AS$34 bilion (RM138 bilion) yang menyaksikan Beijing bertindak balas dengan mengenakan kadar tarif sama terhadap eksp­ort AS ke China.

Washington juga sedang bersiap sedia untuk mengenakan ta­rif tambahan barangan bernilai AS$16 bilion (RM65 bilion) pada minggu akan datang. – REUTERS