Tindakan itu susulan keputusan Presiden Donald Trump mengiktiraf kawasan tersebut sebagai salah satu wilayah milik rejim Zionis, biarpun mendapat bantahan pelbagai pihak terma­suk ‘tuan punya tanah’, Syria.

Menurut Reuters, laporan Haaretz Daily menyatakan ke­semua dokumen, termasuk pasport akan dikeluarkan selaras dengan keputusan yang baharu dibuat itu.

Sebelum ini, beberapa dokumen rasmi dikeluarkan AS yang mana merujuk Bukit Golan sebagai salah satu tanah jajahan Zionis.

Dasar yang sama turut dilaksanakan bagi wilayah-wilayah Palestin seperti di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis.

Pada Mac lalu, Trump mencetuskan kemarahan dunia apabila bertindak mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan.

Awal minggu ini, beliau sekali lagi dikecam selepas sebuah peta yang mengiktiraf kawasan tersebut sebagai salah satu jajahan Israel didedahkan.

Pengiktirafan kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan dilihat sebagai strategi untuk menutup konflik antara Israel dan negara-negara Arab.

Pada Disember 2017, Trump dikecam habis-habisan kerana mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Satu persatu pemimpin dunia tampil menyelar tindakan Trump, termasuk dari Palestin.

Terbaharu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengecam langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘ranca­ngan untuk kegagalan’.