Pengumuman tersebut dikritik hebat oleh barisan kepemimpinan Palestin dan pegawai-pegawai kesihatan yang menyifatkannya sebagai langkah kejam dan tidak adil serta peras ugut politik.

Al-Jazeera melaporkan, keputusan itu dibuat beberapa bulan selepas Presiden AS, Donald Trump mengarahkan semua bantuan yang diberikan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) diteliti semula.

Jabatan Negara AS menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa arahan pemotongan bantuan tersebut meliputi Rangkaian Hospital Timur Baitulmuqaddis dan dana yang sepatutnya diberikan kepada enam hospital berkenaan akan disalurkan kepada beberapa projek berkepentingan tinggi.

Dana bantuan yang disalurkan oleh AS memberi peluang kepada pen­duduk Palestin untuk mendapatkan rawatan pakar seperti sakit jantung, penjagaan rapi neonatal, terapi radiasi dan prosedur dialisis untuk kanak-kanak.

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia, kesemua rawatan tersebut tidak ada di Tebing Barat dan Gaza.

Sehubungan itu, seorang pegawai kanan yang berkhidmat dalam rangkaian hospital Baitulmuqaddis, Walid Nammour menggesa komuniti antarabangsa su­paya bertindak segera kerana keputusan AS itu melibatkan ba­nyak nyawa pesakit.

“Pesakit tidak seharusnya terlibat dalam isu politik dan mereka perlu menerima rawatan yang sewajarnya,” katanya.

Jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Ahmad Shami pula menyifatkan tindakan AS itu sebagai keputusan yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.

“Ini bukan formula terbaik untuk meneruskan rundingan damai. Ini adalah satu langkah yang tidak berperikemanusiaan terhadap pen­duduk Palestin,” ujarnya.

Pada bulan lalu, pentadbiran Trump menamatkan bantuan eko­nomi berjumlah AS$200 juta (RM829 juta) kepada Tebing Barat dan seminggu kemudian, AS menghentikan bantuan kepada Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Kementerian Luar Palestin menerusi kenyataan menyelar tindakan AS tersebut dan menyifatkannya sebagai usaha AS untuk ‘menafikan hak penduduk Palestin’, selain dilihat mengancam kehidupan ribuan petugas hospital.

Sebagai tindak balas, Trump pada Khamis lalu menegaskan bahawa semua keputusan yang dibuat bertujuan ‘memaksa penduduk Palestin untuk berun­ding’, namun dilihat mencetuskan lebih banyak ketegangan antara Wa­shington dan kepemimpinan Pa­lestin.

“Anda akan dapat duit, namun kami tidak akan membayarnya sehingga anda bersetuju untuk berunding,” kata Trump.