Ketua Jabatan Penilaian Risiko Ternakan Umum, Sanad Al-Harby yang dipetik portal Arab News sebagai berkata, langkah itu adalah tindakan susulan terhadap keadaan kesihatan haiwan di negara-negara di seluruh dunia.

Langkah itu juga bertujuan untuk mengkaji surat amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Dunia bagi Kesihatan Haiwan yang menyatakan kemunculan selesema burung atau kes influenza burung di Malaysia.

Tindakan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak berlakunya penularan penyakit di negara ini.

Selesema burung ialah pe­nyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian terutama kepada burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam Belanda.

Selesema burung disebabkan oleh virus avian influenza (AI) yang biasanya boleh berjangkit kepada burung, kadang kala kepada babi dan jarang-jarang kepada kuda, anjing laut, ikan paus, manusia dan juga lain-lain binatang. Terdapat banyak jenis virus AI, misalnya H5N1.

Virus selesema burung telah wujud lebih dari seabad lalu dan secara semula jadi dalam burung-burung liar yang selalunya tidak mengalami penyakit kesan daripada virus tersebut.

Lebih 200 juta ekor ayam, itik dan burung liar mati atau dibunuh disebabkan oleh virus H5N1 sejak 1997 dan boleh berjangkit kepada manusia dalam keadaan tertentu.