Syarikat gergasi teknologi di California itu berkata, kedai runcit, pejabat, pusat data dan kemudahan bersama di 43 negara beroperasi menggunakan tenaga yang diperbaharui atau tidak mencemari alam sekitar.

Menurut portal berita Channel News Asia, sembilan rakan kongsi perkilangan tambahan syarikat itu turut komited untuk menggunakan tenaga bersih bagi operasi pengeluaran Apple.

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook dalam satu kenyataan berkata, pihaknya komited menjadikan dunia lebih baik daripada sebelumnya dan amat berbangga dengan pencapaian itu.

“Kami akan terus berusaha seboleh mungkin untuk memastikan apa yang kami lakukan tidak menjejaskan alam sekitar terma­suk dalam penggunaan bahan-bahan dalam produk kami, cara kami mengitar semula, kemudahan serta para pembekal.

“Kami juga melihat jauh ke hadapan dalam penggunaan sumber-sumber yang boleh diperbaharui kerana kami tahu masa depan bergantung kepadanya,” katanya.

Kejayaan yang sama juga telah diumumkan Google yang berjaya mencapai penggunaan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam operasinya pada Disember lalu.

Apple berkata, pihaknya akan membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh dunia, termasuk penjanaan solar dan ladang angin, serta teknologi baharu seperti sel bahan bakar bio­gas, sistem penjanaan mikro hidro dan teknologi penyimpanan tenaga.

Syarikat itu berkata, Apple mempunyai 25 projek tenaga boleh diperbaharui yang ber­operasi di seluruh dunia dengan kapasiti penjanaan berjumlah 626 megawatt.

Di Jepun, Apple bekerjasama dengan syarikat solar tempatan, Daini Denryoku untuk memasang sistem solar di atas bumbung kediaman untuk menghasilkan tenaga bersih yang cukup bagi lebih daripada 3,000 rumah.

Syarikat itu juga membina projek tenaga boleh diperbaharui di 800 kawasan bumbung bangunan di Singapura, yang mana kawasan tanah yang lapang sukar untuk diperoleh.

Apple mempunyai 15 lagi projek dalam pembinaan yang akan membekalkan lebih 1.4 gigawatt penjanaan tenaga boleh diperbaharui ke 11 negara.