Detik.com melaporkan, Prabowo juga membicarakan tentang harga bahan asas yang melambung tinggi, Badan Usaha Milik Negara (BUMN) yang tidak lagi untung malah berhutang, pembiayaan hospital, anak-anak yang berkembang dan hutang negara yang terus bertambah.

Beliau menjelaskan, keadaan negara yang seperti itu merupakan penghinaan kepada pengasas bangsa Indonesia.

“Negara yang sudah 73 tahun merdeka, kalau ada rakyat yang lapar, kalau ada rakyat yang gantung diri kerana putus asa, ini adalah penghinaan kepada pengasas-pengasas kita. Ini adalah penghinaan kepada rakyat Indonesia,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulangi kenyataannya tentang tanggapan terhadap pidato-pidatonya selama ini yang menyatakan harus optimis, jangan pesimis.

“Saudara sekalian, ada yang mengatakan jangan pesimis, harus optimis. Indonesia katanya akan bertahan 1,000 tahun lagi. Saudara semua, saya bertanya, apakah negara yang tidak mampu membiayai hospital, tidak mampu menjamin makan untuk rakyatnya, tidak membela petani, nelayan, pekerja, tenteranya tidak kuat, boleh bertahan 1,000 tahun?

“Jangan-jangan bertahan 10 tahun sudah setengah mati kita,” tambahnya.

Prabowo mengatakan rizab bahan bakar negara hanya mampu bertahan 20 hari manakala rizab beras pula hanya tiga minggu.

Memetik kenyataan Menteri Pertahanan, Prabowo menjelaskan bahawa negara ini hanya mampu bertahan selama tiga hari jika berada dalam keadaan perang.

“Kerana peluru hanya bertahan tiga hari. Bukan saya yang mengatakan perkara itu tetapi Menteri Pertahanan daripada pemerintahan sekarang ini,” katanya.