Bagaimanapun tembelang lelaki itu pecah selepas isteri keduanya menemui mesej lelaki itu bersama wanita lain sebelum mereka membuat laporan polis.

Oddity Central melaporkan, lelaki yang dikenali sebagai Zhang, 36, berdepan hukuman penjara dua tahun kerana mengeksploitasi kelemahan sistem untuk mengahwini tiga wanita berbeza dalam tempoh tiga tahun.

Zhang bagaimanapun tidak mempunyai masalah untuk menanggung tiga isterinya itu kerana industri hartanah kini sedang berkembang pesat di China.

Bagaimanapun perjalanan berulang-alik ke tiga buah rumah sehingga 10 kali seminggu, agak memenatkan, Zhang membeli tiga pangsapuri untuk ketiga-tiga isterinya yang jaraknya hanya satu kilometer.

Lelaki itu dilaporkan berkahwin dengan isteri pertamanya yang dikenali sebagai Ren di Kunshan pada 2015 dan melangsungkan perkahwinan kedua di wilayah Henan, setahun kemudian.

Pada 2017, Zhang berkahwin dengan seorang lagi wanita yang berasal dari Anhui dan dilaporkan dia mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak dengan ketiga-tiga isterinya.

Difahamkan, Zhang berjaya mendapatkan dua lagi sijil perkahwinan kerana pihak berkuasa di ketiga-tiga wilayah berkenaan tidak berkongsi pangkalan data yang mana membolehkan dia menyembunyikan status perkahwinannya.

Zhang mendakwa tidak menge­tahui amalan berpoligami menyalahi undang-undang China namun pihak berkuasa tidak mempercayainya kerana dia berkahwin di wilayah berbeza-beza sebelum membawa mereka tinggal di Kunshan.

Rahsia lelaki itu terbongkar selepas isteri keduanya mengekori trip perniagaan suaminya, tanpa disedari lelaki itu yang singgah ke rumah isteri pertama dan ketiganya.

Isteri pertama Zhang menceraikannya pada tahun lalu selepas penipuan lelaki itu terbongkar, manakala dua lagi isterinya membuat laporan polis, Mac lalu.

Zhang yang digambarkan sebagai lelaki penyayang dan prihatin dituduh mengamalkan poligami November lalu dan ketika ini sedang menunggu hukuman terhadapnya. – AGENSI