BBC melaporkan, peletakan jawatan May yang juga merupakan Perdana Menteri Britain akan berkuat kuasa pada 7 Jun ini, namun beliau akan meneruskan tugasnya sehingga tarikh tersebut.

Pemilihan itu bukan sahaja memilih pemimpin baharu Parti Konservatif malah Perdana Menteri United Kindom (UK) yang baharu.

Parti Konservatif yang mempunyai seramai 124,000 anggota menjangkakan parti itu bakal memperoleh pemimpin baharu menjelang penghujung Julai ini.

May juga bersetuju dengan Pengerusi Parti Konservatif, Graham Brady yang mencadangkan supaya proses memilih pemimpin baharu parti dimulakan seminggu lepas beliau meletak jawatan.

Sebanyak empat calon mengesahkan untuk bertanding mere­but jawatan itu termasuk Setia­usaha Luar Britain, Jeremy Hunt; Setiausaha Pembangunan Antarabangsa, Rory Johnson;bekas Setiausaha Kerja dan Pencen, Esther McVey dan bekas Setiausaha Luar, Boris Johnson.

Namun, puluhan lagi anggota parti berkenaan dilapor berhasrat untuk merebut jawatan pemimpin termasuk Brady.

Setiausaha Kerja dan Pencen, Amber Rudd bagaimanapun menolak turut serta bertanding kerana merasakan belum tiba masanya bagi beliau menjadi pemimpin Parti Konservatif.

Bagaimanapun, beliau me­nyatakan kesediaan untuk be­kerjasama dengan Johnson sekiranya bekas Setiausaha Luar Britain itu dipilih sebagai pemimpin parti yang baharu.

Selain itu, Setiausaha Alam Sekitar, Michael Gove yang dilihat sebagai antara calon popular untuk menerajui kepemimpinan Parti Konservatif enggan mengulas sama ada beliau akan bertanding atau sebaliknya.

Barisan ahli Parlimen Konservatif mempunyai masa sehingga 10 Jun ini untuk memberi nama calon-calon yang bakal bertan­ding dan mereka akan melalui proses pengundian bagi menentukan ‘pemenangnya’. – AGENSI