Menurut portal berita BBC, pengecualian itu akan menggantung sekatan AS terhadap Iran selama 120 hari lagi.

Beliau turut dilaporkan mahu Kesatuan Eropah (EU) yang memeterai perjanjian, menyetujui supaya sekatan terhadap Iran dalam kes pengayaan uranium dikekalkan selama-lamanya dan bukan tamat pada tahun 2025.

“Ini adalah peluang terakhir. Dengan adanya perjanjian seperti itu, AS tidak lagi perlu mengecualikan sekatan untuk kekal dalam perjanjian nuklear Iran.

“Jika pada bila-bila masa saya menilai bahawa perjanjian sedemikian tidak dapat dicapai, saya akan menarik diri daripada perjanjian dengan segera,” kata Trump.

Para pegawai pentadbiran kanan Trump yang memberi taklimat kepada pemberita semalam berkata, Presiden AS itu akan bekerjasama dengan negara Eropah lain untuk menandatangani perjanjian yang membatasi kegiatan peluru berpandu balistik Iran.

Beliau juga mahu Kongres AS untuk meminda undang-undang mengenai penyertaan AS dalam perjanjian nuklear supaya Washington dapat mengembalikan semua sekatan jika Iran melanggar arahan tertentu.

“Trump bersedia untuk membuat pengubahsuaian kepada perjanjian sedia ada jika ia dilakukan secara kekal.

“Ini akan melibatkan rundingan antara AS dan sekutu Eropahnya daripada bercakap sendiri dengan Iran,” kata pegawai itu.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, tindakan itu adalah percubaan terdesak untuk melemahkan perjanjian terbaik yang sudah dimeterai dan mengancam akan bertindak balas dengan le­bih serius.

Jerman berkata, pihak­nya akan terus menggesa pelaksanaan penuh perjanjian itu dan akan berun­ding dengan cara yang sama dengan United Kingdom (UK) dan Perancis.

Semalam, AS turut ber­tindak mengenakan sekatan berasingan terhadap 14 individu dan entiti Iran yang didakwa me­lakukan pencabulan hak, penapisan dan menyokong pembangunan senjata.