Lapor Channel News Asia, saintis iklim dari Crowther Lab, kumpulan penyelidik berpangkalan di ETH Zurich, sebuah universiti sains dan teknologi memaklumkan, perubahan tersebut termasuk pola curahan hujan yang membawa kepada banjir besar selain kemarau.

Saintis menganalisis seba­nyak 520 bandar termasuk semua ibu negara dan pusat bandar dengan populasi lebih daripada satu juta orang.

Melihat kepada keadaan iklim semasa di bandar-bandar itu termasuk data bermusim, saintis mengunjurkan suhu meningkat separuh darjah kepada hampir 1.5 darjah Celsius, di bawah sasaran ditetapkan dalam Perjanjian Paris 2015 bagi perubahan iklim.

Menurut saintis Crowther Lab, kajian dibuat yang dikeluarkan dalam jurnal PLOS ONE me­rupakan analisis global pertama mengenai kemungkinan perubahan keadaan iklim di bandar utama ekoran pemanasan global.

Jelas kajian itu, sebanyak 77 peratus bandar-bandar itu akan mengalami perubahan ketara dalam keadaan iklim pada 2050.

Penulis utama laporan, Jean Francis-Bastin memberitahu, satu per lima bandar-bandar dunia akan mengalami perubahan iklim yang tidak pernah dialami seperti kemarau teruk dan musim monsun kuat.

Jelasnya, sebanyak 22 peratus bandar itu akan berdepan perubahan iklim yang tidak pernah dialami, 64 peratus daripada jumlah tersebut terletak di kawasan tropika dan termasuk Kuala Lumpur, Jakarta, Rangoon serta Singapura.

“Bandar-bandar dalam iklim tropika kemungkinan akan melihat impak besar daripada perubahan iklim namun merasai perbezaan kecil bagi suhu purata.

“Ini perubahan dalam kea­daan iklim yang kemungkinan meningkatkan risiko banjir selain kemarau ekstrem, dan me­rupakan keadaan yang tidak diketahui,” katanya.

Tambah Francis-Bastin, kajian itu mungkin dapat membantu bandar-bandar me­ngubahsuai perancangan untuk memerangi risiko iklim secara spesifik dan berharap orang ramai dapat mengubah gaya hidup yang mengelakkan pengeluaran gas hijau.

“Kita perlu dan secara pantas mengubah cara hidup dan jika tidak, lebih banyak kemarau, banjir dan kejadian ekstrem berlaku,” tegasnya.

Menurut kajian itu, sepanjang hemisfera utara, kebanyakan bandar dalam 30 tahun ini akan menyerupai tempat yang lebih 1,000 kilometer ke selatan, ke arah khatulistiwa.

Secara global, suhu kemungkinan menjadi 2.4 darjah Celsius lebih panas pada purata, cukup untuk membunuh hampir ke­semua terumbu karang dan melepasi sasaran dibuat dalam Perjanjian Paris.

Dalam Eropah, bandar-bandar lebih panas dengan purata sekitar 2.5 darjah Celsius sepanjang tahun tetapi musim panas dan sejuk masing-masing boleh lebih panas mencapai 3.5 ke 4.7 darjah Celcius.