JPNN News melaporkan, tia­da penduduk di pulau ber­kenaan dilaporkan terkorban setakat ini biarpun kedudukannya berada paling hampir dengan Gunung Berapi Anak Krakatau.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Sulaiman, 73, berkata, antara petunjuk yang mereka rasakan termasuk hujan lebat dan angin kencang.

“Kami berasa bersyukur ke­rana Allah SWT memberi kami petanda bahawa bencana itu akan berlaku dan memberi kami pe­luang untuk menyelamatkan diri.

“Satu jam sebelum berlakunya ombak tsunami, tercetus angin yang sangat kencang berserta hujan lebat dari arah Anak Krakatau,” katanya.

Sehubungan itu, timbul panik dalam kalangan penduduk dan mereka bersama keluarga segera melarikan diri ke sebuah gunung tanpa membawa sebarang bekalan asas seperti pakaian, makanan dan ubat-ubatan.

Sulaiman memberitahu, dia yang ketika itu sedang makan juga segera melarikan diri sehingga mengalami kecederaan pada tangan.

“Saya sudah tua dan sukar untuk mendaki gunung yang tinggi dan satu jam selepas itu, kami melihat tsunami melanda Pulau Sebesi.

“Saya dapat rasakan air tsunami biarpun sudah berada atas gunung dan disebabkan itu, saya tidak dapat bayangkan betapa tingginya ombak tsunami tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pos Pemantauan Anak Krakatau, Windi Cahya Untung memaklumkan bahawa gunung berapi tersebut terus mengeluarkan asap hitam dan debu panas.

Menurutnya, debu panas tersebut kini bergerak ke Lautan Hindi, selain beberapa bunyi dentuman dapat didengar di Anak Krakatau.

“Asap yang dikeluarkan tebal dan berwarna hitam, selain keadaan cuaca juga mendung dan berawan,” jelasnya.

Windi turut memberitahu gegaran berterusan berlaku akibat aktiviti Anak Krakatau.

Sementara itu, satu gempa bumi sederhana berukuran 5.8 pada skala Richter menggegarkan timur wilayah Papua hari ini, sekali gus menyebabkan penduduk panik dan segera menyelamatkan diri.

Tiada sebarang kematian atau kerosakan dilaporkan setakat ini dan pusat gempa dikesan berhampiran bandar Manokwari pada kedalaman 55 kilometer.

Agensi Meteorologi Indonesia memberi jaminan gempa itu tidak akan mencetuskan gelombang tsunami.

Gempa bumi sederhana de­ngan kekuatan 5.8 pada skala Richter juga melanda rantau Irian Jaya pada pukul 11.03 pagi ini. – BERNAMA/AGENSI