Maharaja Akihito, 83, yang telah menjalani pembedahan jantung dan rawatan kanser prostat pernah memaklumkan kepada rakyatnya pada tahun lalu bahawa baginda bimbang usianya yang lanjut menyukarkannya untuk menjalankan tugas diraja.

Putera Mahkota Naruhito, 57, dijangka mengambil alih takhta baginda.

Rang undang-undang akan dikemukakan di Parlimen untuk diluluskan oleh ahli-ahli Parlimen sebelum sidang yang berlangsung berakhir hujung bulan depan.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga berkata, kerajaan berharap dapat memudahkan kelulusan berkenaan mengikut Perlembagaan.

Walaupun tiada pengesahan tentang penurunan takhta itu namun media tempatan memaklumkan berkemungkinan akan berlangsung hujung tahun depan yang merupakan ulang tahun ke-30 pemerintahan baginda.

Penurunan takhta sukar dilaksanakan di bawah undang-undang Jepun sekarang dan kali terakhir berlaku ialah pada 1817.

Rang undang-undang tersebut merupakan Perlembagaan khas yang hanya membenarkan Maharaja Akihito turun takhta dan tidak diperuntukkan kepada mana-mana maharaja akan datang.– REUTERS