Menurut portal al-Jazeera, pasukan terbabit telah meneliti 19 panggilan telefon yang dibuat oleh Maher Mutreb, dipercayai ketua perunding dalam ba­ngunan Konsulat Arab Saudi dan mendapati empat panggilan dibuat kepada Saud al-Qahtani.

Selain itu, penyiasat turut menemukan ‘orang ketiga’ dalam senarai panggilan terbabit.

Saud dipercayai merupakan orang kanan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman sebelum dilucutkan jawatannya sebagai Penasihat Mahkamah Diraja berikutan kemarahan orang ramai berhubung insiden pembunuhan Jamal.

“Hari ini, kita mendapati da­ripada pegawai bahawa apabila Maher dan Saud sedang bercakap melalui telefon, terdapat suara ketiga yang didengari dari telefon Saud. Saud menyampaikan maklumat yang diterima daripada Maher kepada orang ketiga berkenaan.

“Menurut pegawai Turki, mereka percaya suara ketiga itu berkemungkinan adalah Mohammed, namun analisis teknikal masih belum dapat disahkan lagi kerana Maher melakukan kesemua panggilan tersebut dengan menggunakan telefon peribadinya dari Arab Saudi serta secara teknikalnya, Turki memerlukan bantuan untuk menganalisis telefon terbabit,” kata wartawan al-Jazeera, Sinem Koseoglu.

Selain itu, tiga lagi pekerja warga Arab Saudi bersama-sama Jeneral Konsul mereka di bangunan konsulat tersebut dikatakan merupakan suspek utama pembunuhan itu selepas melarikan diri dari Turki dalam tempoh tiga hari sejurus selepas insiden berkenaan.

Dalam pada itu, dua anak perempuan Jamal berjanji untuk mengekalkan legasi yang ditinggalkan oleh wartawan tersebut.

Bagi Noha dan Ra­zan Jamal, kedua-dua­nya membesar dengan melawat pelbagai muzium dan tapak bersejarah, yang dilihat mencerminkan cinta ibu bapa mereka terhadap ilmu pengetahuan.

Mereka mengimbau kembali saat-saat berjaga setiap malam memikirkan apa yang Jamal lakukan ketika be­kerja di luar negara dan ‘percaya walau berapa lama dia pergi, pasti akan bertemu lagi’.

Noha serta Razan turut menceritakan kembali hari ketika Jamal pertama kali dilaporkan hilang dan bagaimana keluarga mereka melawat rumahnya di Virginia.

“Saat paling sukar adalah melihat kerusi kosongnya. Ketiadaannya amat menyeksakan. Kami dapat melihat dia duduk di situ, sambil memakai kaca mata, membaca atau menaip,” tulis mereka dalam satu kolum khas di Washington Post.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu percaya kenyataan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menunjukkan beliau seakan-akan mahu ‘menutup sebelah mata’ berhubung pembunuhan Jamal tanpa menghiraukan hasil siasatan oleh pasukan penyiasat.

Trump sebelum ini menyatakan Arab Saudi merupakan ‘sekutu utama dan penting’ meskipun wujud dakwaan Mohammed mungkin menge­tahui mengenai rancangan pembunuhan Jamal.