Buenavista, 23, yang ketika kejadian berada di puncak Gunung Berapi Rinjani berkata, akibat gegaran itu, dia terpaksa berpaut pada tanah selepas me­rasakan gempa tersebut akan berlanjutan selamanya.

“Saya nampak ada pendaki yang jatuh namun keadaan ketika itu amat kabur,” katanya semasa dihubungi dari Pulau Gili.

Hampir 700 orang menuruni Gunung Berapi Rinjani hari ini selepas terperangkap sejak semalam ekoran laluan utama ke puncak gunung berapi setinggi 3,276 meter itu dibersihkan ketika helikopter menjatuhkan bantuan makanan kepada pendaki yang berusaha menyelamatkan diri.

Jurucakap agensi pencegahan bencana nasional, Sutopo Purwo Nugroho berkata, sekurang-kurangnya 689 orang masih berada di Rinjani.

“Ratusan pendaki di kawah di kawasan pendakian tidak dapat turun selepas laluan itu dipenuhi tanah runtuh dan terdapat kebimbangan berlaku tanah runtuh selanjutnya,” kata Sutopo.

Sekurang-kurangnya 820 o­rang kebanyakannya warga a­sing berada di Gunung Berapi Rinjani apabila gempa yang berpusat di utara Pulau Lombok menggegarkan pulau itu dengan gegarannya dirasai sehingga Pulau Bali di barat pulau.

Pendaki dari Thailand menjadi kumpulan terbesar warga asing yang berdaftar untuk mendaki gunung itu pada 27 dan 28 Julai dengan jumlah 337 orang diikuti warga Perancis, Belanda dan Sepanyol menjadi kontinjen terbesar berikutnya.

Taman Negara Gunung Rinjani dalam tweet pihak itu hari ini berkata, laluan utama iaitu Senaru telah dibuka semula bagi membolehkan pendaki turun.

Pegawai pencegahan bencana Nusa Tenggara Barat, Agung Pamuja berkata, pihak berkuasa meramalkan kira-kira 500 pendaki akan tiba di kaki Gunung Berapi Rinjani kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan.

Katanya, runtuhan tanah akibat gempa memerangkap sekumpulan enam orang di kawah tasik di gunung berapi kedua terbesar Indonesia dengan kira-kira 100 anggota tentera, polis dan pelbagai pasukan penyelamat berusaha untuk menurunkan pendaki terperangkap.

Pendaki biasanya memerlukan tempoh dua hari semalam untuk sampai ke lingkaran kawah Rinjani sebelum turun semula ke kaki gunung.

Gempa bumi adalah perkara biasa di Indonesia dengan kekuatan 6.4 Richter dianggap kuat dan mampu mengakibatkan kerosakan besar dengan 280 gempa susulan direkodkan selepas gempa pertama. – REUTERS