BBC melaporkan, perkara itu didedahkan selepas sekumpulan pakar arkeologi dari Universiti York memeriksa satu mumia berusia 3,700 hingga 3,500 sebelum Masihi dan mengesahkan kaedah itu sudah wujud dan digunakan secara meluas lebih awal daripada jangkaan sebelum ini.

Penemuan itu diterbitkan da­lam Journal of Archaeological Science.

Ketua pengkaji, Dr. Stephen Buckley memberitahu BBC bahawa mumia yang diperiksa itu disifatkan sebagai ‘ibu segala’ proses mengawet mayat di Mesir selama hampir 4,000 tahun.

Dalam kajian yang dilakukan, Buckley dan pasukannya mene­liti setiap bahan kimia yang digunakan untuk mengawet ma­yat biarpun setiap elemen boleh dihasilkan daripada pelbagai sumber.

Jelas Buckley, ramuan asas bagi mengawet mayat ketika era tersebut adalah minyak tumbuhan - dipercayai minyak bijan, ekstrak tumbuhan ‘jenis balsam’, gula semula jadi yang diekstrak daripada pokok akasia dan damar pokok konifer.

Katanya, apabila kesemua ba­han itu dicampurkan dengan minyak tersebut, damar akan berfungsi sebagai bahan antibakteria yang melindungi mayat daripada reput.

Buckley turut memberitahu, beliau dan pasukannya mula mencari resipi mengawet mayat tersebut sejak beberapa tahun lalu selepas mereka menganalisis bahan kimia yang diperoleh daripada kain pembalut mumia.

“Penemuan itu membawa kami ke Muzium Mesir di Turin, Itali untuk mengkaji satu mumia yang belum pernah disentuh untuk tujuan penyelidikan.

“Hasil pemeriksaan yang di­la­kukan, kami mendapati pro­ses mengawet mayat ini bermula kira-kira 3,600 sebelum Masihi ke atas mayat seorang lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun ketika dia meninggal dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Buckley turut mendedahkan prosedur me­ngawet mayat untuk dijadikan mumia bermula dengan otak dan organ dalaman dikeluarkan sebelum garam diletakkan dalam tubuh bagi mengeringkannya dan kemudian, badan mayat akan disalut dengan bahan awet serta dibungkus de­ngan kain.