Laman web Reuters melaporkan, tindakan itu dikatakan sebagai sebahagian daripada ‘cita-cita jahat’ menawan Pyongyang dengan kekerasan meskipun ketika mempromosikan dialog.

Kementerian Luar Korea Uta­ra dalam satu kenyataan me­ngulangi aduan-aduan mengenai kempen berterusan sekatan AS termasuk rampasan salah satu kapal kargo terbesar negara di samping memberi amaran ‘penggunaan kekuatan bukan hanya dimonopoli AS’.

Kenyataan itu merujuk kepada ujian sub kritikal nuklear AS pada 13 Februari lalu, hanya beberapa hari sebelum persida­ngan kedua antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

“AS telah menunjukkan niat tersembunyi yang mana mereka mencari penyelesaian isu berdasarkan kekuatan,” jelas kenya­taan itu.

Kenyataan itu sebagai sera-ngan kepada Penasihat Kese­la­matan Negara, John Bolton dan Setiausaha Negara, Mike Pompeo dengan menuduh mereka dan pegawai tertinggi AS lain ‘menghina maruah kepimpinan negara dan memanggil Korea Utara sebagai rejim penyangak’.

Pihak AS juga dituduh ‘me­rancang permusuhan untuk membendung Pyongyang de­ngan ketenteraan’ yang mana Korea Utara diberi amaran bahawa Washington akan ‘menukar laluan’ jika tidak memusnahkan senjata nuklear.

Korea Utara turut mengutuk latihan tentera AS-Korea Selatan dan latihan misil pertahanan AS serta ujian pelancaran misil balis­tik kapal selam.