Laporan eksklusif BBC menyebut, perkara itu didedahkan menerusi pengumpulan pelbagai dokumen dan kajian baharu mengenai kehidupan etnik tersebut yang semakin mendapat perhatian dunia.

Beberapa rekod menunjukkan di sebuah pekan di Xinjiang, lebih 400 kanak-kanak terpisah dengan ibu bapa masing-masing selepas mereka dimasukkan ke kem tahanan mahupun penjara.

Tindakan itu membolehkan China menempatkan golongan kanak-kanak Uighur ke sekolah berasrama dengan tujuan ‘membentuk etnik Uighur yang lebih bersifat bangsa Cina’.

Selain itu, Beijing turut me­lakukan ‘penilaian tertentu’ bagi menentukan sama ada golo­ngan kanak-kanak di Xinjiang memerlukan ‘penjagaan secara berpusat’ atau tidak menerusi sistem sekolah berasrama yang didakwa sebagai pusat pendidikan sehenti.

Bagi mendapatkan maklumat mengenai perkara tersebut, koresponden BBC menemu bual sejumlah etnik Uighur di Turki memandangkan kehadiran kumpulan media asing tidak dialu-alukan di Xinjiang.

Di sebuah dewan besar di Istanbul, puluhan etnik Uighur beratur untuk menceritakan kisah mereka ditindas oleh kerajaan China dan kebanyakannya memegang gambar anak ma­sing-masing yang kini ‘hilang’ di Xinjiang.

“Mana anak saya? Saya tidak tahu siapa yang menjaga mereka ketika ini. Kami langsung tidak dapat berhubung,” kata seorang wa­nita sambil memegang gambar tiga orang anak perempuannya yang masih kecil.

Dalam 60 temu bual secara berasingan, keluarga dan ibu bapa rancak memberikan maklumat mengenai kehilangan lebih 100 kanak-kanak di Xinjiang dan kebanyakannya adalah kanak-kanak etnik Uighur.

Menurut seorang penyelidik dari Jerman, Dr. Adrian Zenz yang sebelum ini berani mendedahkan mengenai penahanan golongan dewasa Uighur di Xinjiang, China kini semakin giat mengembangkan pembangunan sekolah berasrama di wilayah autonomi tersebut.

Jelasnya, sejumlah kampus dibesarkan dan bilik asrama ditambah untuk menampung jumlah penghuni yang besar.

“Sistem sekolah berasrama dilihat lebih efisien untuk me­ngubah serta membentuk sifat budaya baharu dalam kalangan kanak-kanak Uighur, sama se­perti kem tahanan vokasional yang diwujudkan untuk golo­ngan dewasa etnik minoriti tersebut,” katanya.

Dalam tempoh setahun pada 2017, jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke tadika di Xinjiang meningkat lebih setengah juta orang dan etnik Uighur serta beberapa etnik minoriti Islam yang lain adalah 90 peratus penyumbang kepada peningkatan tersebut.

Kerajaan China juga dilaporkan membelanjakan kira-kira AS$1.2 bilion (RM4.96 bilion) untuk membina sebuah bangunan dan menaik taraf sejumlah tadika di selatan Xinjiang yang menempatkan paling banyak populasi etnik Uighur.

Pada April tahun lalu, pihak berkuasa tempatan menempatkan kira-kira 2,000 kanak-kanak dari pelbagai perkampungan di Xinjiang ke sebuah sekolah ber­asrama.

Selain itu, kerajaan China menafikan pendedahan terbaharu itu dengan menegaskan mereka menyediakan kemudahan pendidikan dan tempat tinggal untuk kanak-kanak Uighur yang tinggal sebatang kara selepas ibu bapa mereka ditahan dalam kem.

Seorang pegawai Biro Pendi­dikan di Xinjiang memaklumkan, golongan kanak-kanak Uighur gembira tinggal di sekolah asrama yang dibangunkan, malah mereka juga sudah meng­anggap kebanyakan guru sebagai ibu dan bapa mereka.

Sama seperti kem tahanan dewasa, semua sekolah berasrama yang dibangunkan China di Xinjiang dilengkapi dengan sistem kawalan penuh dan pagar elektrik.