Menurut laporan Daily Mail, pesawat X-59 itu dibina dengan kerjasama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) bagi menyempurnakan ‘kuasa supersonik’.

Pengurus Program Demons­trasi Penerbangan Lockheed Martin, Peter Iosifidis berkata, permulaan pembuatan projek itu menandakan lonjakan ke depan untuk X-59 dan masa depan perjalanan pesawat komersial supersonik yang lebih senyap.

“Ketika kami memasuki fasa pembuatan, struktur pesawat mula terbentuk, membawa ke satu langkah lebih dekat bagi membolehkan perjalanan supersonik untuk penumpang di seluruh dunia,” katanya.

Awal tahun ini, NASA memilih Lockheed Martin untuk mereka bentuk, membina dan menguji penerbangan supersonik.

X-59 akan memulakan penerbangan pertamanya pada 2021.

Pesawat itu juga akan digunakan bagi pengumpulan data tindak balas komuniti terhadap gelombang bunyi yang dihasilkan pesawat selain membantu NASA mewujudkan standard bunyi yang boleh diterima mengikut peraturan semasa.

Baru-baru ini, NASA memulakan ujian pesawat untuk melihat bagaimana penduduk Texas bertindak terhadap bunyi bising pesawat ujian itu yang secara dramatik dapat mengurangkan masa perjalanan.

Concorde sebuah pesawat ciptaan bersama Perancis dan Britain menutup tirai kegemilangannya pada akhir 2003 dan mendapat gelaran sebagai pesawat supersonik.

Perkhidmatan pesawat supersonik itu terjejas teruk ekoran nahas jet Concorde milik Air France di bandar Gonessa di luar Paris pada 25 Julai 2000 yang terhempas tidak lama selepas berlepas dari Paris dan meragut nyawa semua 113 penumpang dan anak kapal.