Badan kebajikan yang berpangkalan di London, Christian Aid menyatakan bahawa keada­an paras laut yang semakin meningkat ketika ini boleh menjejaskan kira-kira tiga juta penempatan.

Beberapa bandar tepi pantai seperti Jakarta direkodkan tenggelam sebanyak 25 senti­meter setiap tahun manakala Bangkok, Houston dan Shanghai berisiko ditenggelami banjir dalam tempoh beberapa dekad akan datang serta keadaan diburukkan lagi dengan perancangan tidak rapi dan bencana alam.

Kajian yang dilakukan oleh badan kebajikan tersebut juga mendapati sebanyak lapan bandar tepi pantai di seluruh dunia semakin tenggelam, sekali gus menyokong kenyataan peningkatan paras laut boleh menjejaskan kehidupan.

Ketua Iklim Global Christian Aid, Kat Kramer berkata, kesan perubahan iklim boleh dilihat di seluruh dunia dengan petunjuk paling jelas adalah bahagian hemisfera utara sangat panas dan keadaan itu tidak normal.

“Banyak bandar besar di negara-negara maju semakin terdedah dengan perubahan iklim dan adalah sangat pen­ting untuk semua pihak memberikan mereka sokongan serta membina sistem ketahanan yang kukuh,” katanya.

Seruan tersebut sejajar dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan dikeluarkan pada minggu depan berhubung gesaan terhadap kerajaan semua negara untuk meningkatkan usaha bagi menangani isu peningkatan suhu global.

Panel Perubahan Iklim Kerajaan Dalaman akan memeriksa kesan yang diakibatkan oleh pemanasan global setinggi 1.5 darjah celsius iaitu di atas paras pra industri.

Semua negara yang menandatangani Perjanjian Paris 2015 berusaha untuk memastikan had kenaikan suhu tidak akan melebihi dua darjah celsius menjelang hujung abad ini. – AFP