Badan pemantau hak asasi manusia Syria berkata, selain serangan di Aleppo, tentera kerajaan turut melakukan serangan udara di Kampung Jarjanaz dekat zon penampan di wilayah Idlib, membunuh tujuh kanak-kanak dan dua wanita.

RT melaporkan, dalam serangan di kawasan perumahan Al-Khalidiye dan Al-Zahraa serta Nile Street yang kini dikuasai tentera kerajaan itu, pasukan perubatan percaya, kumpulan pemberontak menggunakan gas klorin dalam serangan tersebut.

Ketua Jabatan Kesihatan Aleppo, Ziad Haj Taha berkata, sebanyak 50 orang dikejarkan ke hospital selepas serangan itu dan memaklumkan angka mangsa yang cedera mungkin meningkat.

“Perkhidmatan ambulans menyediakan bantuan berterusan kepada mangsa keracunan gas dalam serangan kumpulan kumpulan pemberontak,” katanya kepada agensi berita Rusia, Sputnik.

Kementerian Pertahanan Rusia mengerahkan unit perlindungan kimia di Syria ke Aleppo dan memantau situasi di lapangan serta mangsa terjejas.

“Daripada maklumat awal yang kami peroleh dan simptom ditunjukkan mangsa, pemberontak menggunakan senjata bergas klorin,” kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Igor Konashenkov.

Imej yang disiarkan kementerian pertahanan Rusia merakamkan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak diberikan rawatan oleh doktor manakala seorang perempuan mengalami sesak nafas dikejarkan ke hospital dengan kerusi roda.

Mangsa dilihat memakai topeng oksigen.

Pasukan perubatan menambah, jumlah orang awam yang diberikan rawatan kerana terhidu gas meningkat kepada 73 orang termasuk 4 kanak-kanak dengan kesemuanya mengalami simptom sesak nafas dan mata berair.

Berdasarkan maklumat tentera, serangan itu dilancarkan dari wilayah Idlib, sebuah kampung yang dikuasai Barisan Nusra.

Dalam perkembangan ber­kaitan, serangan balas kumpulan militan Daesh ke atas pejuang Kurdis yang disokong Amerika Syarikat (AS) membunuh sekurang-kurangnya 47 anggota kumpulan tersebut dalam tempoh dua hari.

Badan pemantau hak asasi manusia Syria berkata, Daesh melakukan serangan sepanjang hari di tiga kawasan itu iaitu di Kampung Al-Bahra dan Gharanij dan dekat lapangan minyak Al-Tanak ketika Tentera Demokratik Syria (SDF) mendapat sokongan udara tentera perikatan diketuai AS. – AGENSI