Malah, sekurang-kurangnya 170,000 penduduk dari Palu dan daerah berhampiran masih tiada tempat tinggal dan seluruh kawasan kejiranan belum pulih sepenuhnya.

“Enam bulan selepas bencana itu, kami sangat khuatir tentang nasib kira-kira 6,000 kanak-kanak yang masih tinggal di kem penempatan sementara serta ribuan lagi yang tinggal di rumah yang musnah teruk,” kata Tom Howells daripada pertubuhan Save The Children.

Gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang melanda kota berkenaan, mencetuskan tsunami dan mengakibatkan lebih 4,300 orang terkorban pada September lalu.

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak dikenali sebagai Salsa, 10, dan keluarganya masih tinggal di sebuah khemah beralaskan lantai lumpur sejak tsunami memusnahkan rumah mereka di Donggala berdekatan pusat gempa.

“Di sini kami menggunakan lampu dengan kuasa bateri. Selalunya apabila kami tidur pada waktu malam, terdapat banyak tikus,” jelasnya.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah memaklumkan pemulihan di Palu berjalan de­ngan sangat perlahan.

“Bagaimana mahu membina semula bahagian pantai, bandar atau komuniti apabila sebahagian besar daripadanya musnah,” kata wakil ketua pertubuhan itu di Indonesia, Jan Gelfand. – AFP